Pembangunan rumah ibadat termasuk kuil mesti secara teratur - Sultan Selangor

 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, setiap pembinaan dan pembangunan rumah-rumah ibadat khususnya kuil-kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda telah disembah maklum oleh Kerajaan Negeri Selangor berhubung statistik pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran di Negeri Selangor sehingga 31 Januari 2026 iaitu sebanyak 687 buah kuil. 

Menurut beliau, jumlah itu membabitkan 388 buah kuil yang dibina di tanah milik kerajaan dan 299 buah kuil dibina di atas tanah milik persendirian. 

"Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu sekitar lebih kurang 11.3% di Selangor. 

"Jumlah ini pun tidak mengambil kira jumlah kuil di seluruh Selangor yang telah didirikan secara sah yang telah mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri Selangor," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip toleransi yang menjadi teras keharmonian masyarakat di negeri itu. 

Menurut beliau, Sultan Selangor sentiasa menekankan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan yang dibuat dan mendapat kelulusan sah daripada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta mengikut segala perundangan dan garis panduan yang telah ditetapkan. 

"Sebarang pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa kelulusan yang sah yang melibatkan pencerobohan terhadap tanah kerajaan dan persendirian akan menimbulkan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama yang akhirnya menyebabkan ancaman dan risiko keselamatan kepada negeri dan negara ini.

"Kerajaan dan PBT pula diingatkan supaya sentiasa meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat agar diproses secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. 

"Aspek pemantauan juga perlu sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal," jelasnya.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor menegaskan agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama dan telah menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan