Sultan Sharafuddin tidak berkenan penternakan babi di mana-mana daerah di Selangor

 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, ini adalah kerana penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau yang busuk serta boleh mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi. 

"Sebagai contohnya cadangan penternakan babi di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan Felda pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya. 

"Di samping itu ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, dalam hal ini, walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di Selangor sahaja. 

Mohamad Munir berkata, tambahan lagi tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.

"Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad dan ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi di Selangor yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat," katanya.

Beliau berkata, Sultan Sharafuddin menitahkan agar kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Selangor sahaja. 

Mohamad Munir berkata, dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah Selangor bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan.

"Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat. 

"Oleh itu semua pihak diseru untuk menghormati titah baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini," katanya.







Catat Ulasan

0 Ulasan