Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) memandang serius kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur hari ini yang memaklumkan bahawa perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) adalah tidak dibenarkan.
Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, menurut undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan, polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan atau menghalang perhimpunan aman selagi ia dijalankan tanpa senjata.
Beliau menjelaskan, hak tersebut dijamin secara nyata di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan setiap warganegara berhak untuk berhimpun secara aman.
"Dalam hal ini, Mahkamah Persekutuan dalam kes Amir Hariri Abd Hadi lawan Pendakwa Raya telah menegaskan dengan jelas bahawa hak berhimpun secara aman bukan suatu keistimewaan yang tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa, sebaliknya merupakan hak perlembagaan yang wajib dihormati dan dilindungi," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Muhamad Hisham menambah, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan peruntukan undang-undang yang menjenayahkan kegagalan memberi notis perhimpunan adalah tidak berperlembagaan.
Menurutnya, keperluan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh ditafsir sebagai kuasa untuk melarang perhimpunan atau menjadikannya tidak sah secara automatik.
Mengenai alasan bantahan daripada peniaga di sekitar lokasi, beliau berkata, ia bukanlah alasan sah untuk melarang sesuatu perhimpunan mengikut rujukan kes Persatuan Peniaga Bazar Masjid India pada 2016 yang ditolak Mahkamah Tinggi.
"Oleh yang demikian, sebarang kenyataan bahawa sesuatu perhimpunan aman adalah tidak dibenarkan adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.
"PPMM menegaskan bahawa peranan dan tanggungjawab polis bukanlah untuk menghalang perhimpunan aman, tetapi untuk memudah cara pelaksanaan hak berhimpun secara aman, menjaga keselamatan awam dan peserta perhimpunan serta memastikan ketenteraman awam tanpa menafikan hak perlembagaan rakyat," katanya.
Beliau menambah, pendekatan yang bersifat melarang, menakut-nakutkan atau mengugut penganjur dan peserta bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan, malah merosakkan prinsip kedaulatan undang-undang.
"PPMM menggesa pihak polis supaya mematuhi sepenuhnya kehendak Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan, serta mengambil pendekatan yang selari dengan prinsip hak asasi manusia dan tadbir urus demokratik.
"Hak berhimpun secara aman bukan ancaman kepada undang-undang dan ketenteraman awam. Sebaliknya, hak tersebut adalah lambang kematangan demokrasi dan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara," tegas beliau.

0 Ulasan