Pencuri ditangkap selepas gagal lari daripada polis

 

Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun selepas aksi kejar yang tular di media sosial melibatkan sebuah kenderaan di Jalan Kuching-Serian, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditangkap kira-kira pukul 1.30 petang di kawasan Taman Berjaya, Batu 4 1/2, Jalan Penrissen berhubung kes pecah rumah di Jalan Laksamana Cheng Ho dan kes curi motosikal di sekitar bandar raya tersebut.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pihak polis mengesan sebuah Perodua Viva berwarna putih yang dipandu suspek sedang menghala ke arah pusat bandar sebelum dia bertindak melarikan diri.

"Suspek enggan memberi kerjasama dan telah bertindak melarikan diri serta melanggar beberapa buah kenderaan di atas jejambat ketika cubaan untuk meloloskan diri,

"Dalam kejadian tersebut, seorang anggota polis telah mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan ketika cuba menahan suspek," katanya dalam kenyataan media semalam.

Alexson memberitahu, suspek akhirnya berjaya diberkas oleh pasukan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BJSD) Kuching selepas aksi kejar-mengejar tersebut berakhir.

Hasil semakan lanjut mendedahkan suspek mempunyai 20 rekod lampau berkaitan jenayah, manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan pula mendapati lelaki berkenaan positif dadah.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan rumah untuk mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Frankie di talian 019-8462132 atau mana-mana balai polis berhampiran.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan