Tak adil hukum Azam Baki sebelum siasatan selesai - Anwar

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, adalah tidak wajar mana-mana pihak menghukum Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum proses siasatan dilengkapkan.

Menurut beliau, adalah tidak adil untuk menghukum sebelum siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus. 

"Jangan beri gambaran seolah-olah semuanya buruk. Ini yang saya nak tekankan dan cara kita selesai ini, bagi saya ini undang-undang.

“Kalau ada aduan-aduan yang benar, bawa ke mahkamah, proses ini sama seperti mana yang kita bicarakan sekarang dalam kes SPRM.

“Bagi saya, saya tidak fikir saudara-saudara yang bekerja ini, yang berhempas pulas, terus dihukum sebelum siasat. Saya tidak pilih jalan itu. Siasat, kalau perlu tindakan, kita ambil tindakan. Kalau perlu hukuman, ikut hukum,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan program Ihya Ramadan di Putrajaya, 19 Februari 2026.

Beliau menambah, mana-mana pihak tidak seharusnya menghukum terhadap individu tertentu kerana tidak menyenanginya atau disebabkan dorongan politik. 

“Jangan kita hukum kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi, atau kerana ada dorongan politik, atau kita bertindak kerana orang itu pernah mengambil tindakan kepada kelompok yang kita kaitkan. Kita harus teliti,” katanya.

Baru-baru ini, Bloomberg dalam laporannya mendakwa, Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Namun, Azam dalam sidang media menegaskan pegangan saham bernilai RM800,000 itu dibuat secara telus dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.






Catat Ulasan

0 Ulasan