Warga emas lemas semasa tangkap ikan

 

Seorang warga emas ditemukan lemas selepas bot yang digunakannya untuk menangkap ikan ditemukan tersadai di tepi pantai berhampiran Jeti Batu Teluk Ramunia, Kota Tinggi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bot berkenaan sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Bayu Damai digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam bot tersebut menemukan dokumen peribadi termasuk kad pengenalan milik seorang lelaki warga tempatan berusia 77 tahun yang disimpan di dalam plastik bertali.

"Hasil siasatan awal, anak mangsa telah mengesahkan ayah beliau telah turun ke laut untuk menangkap ikan dan belum pulang. 

"Sehubungan itu, satu laporan polis berhubung kehilangan mangsa telah dibuat oleh anaknya," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Yusof memberitahu, susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan oleh Balai Bomba Sungai Rengit dengan bantuan masyarakat setempat.

Menurutnya, mangsa akhirnya ditemukan pada pukul 7.20 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 200 meter dari pesisir pantai sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan prosedur siasatan lanjut.

"Kes diklasifikasikan di bawah Laporan Mati Mengejut (LMM) dan disiasat oleh Ketua Polis Balai Bayu Damai, Inspektor Hafizi Said," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan