DAP tidak perlu mengimport individu daripada parti lain semata-mata untuk menambah bilangan ahli.
Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan berkata, kemasukan ahli Melayu, seperti ahli-ahli kaum lain, telah berlaku secara organik dan cermat.
Menurut beliau, proses berterusan itu telah membuahkan hasil dan kini DAP mempunyai pemimpin Melayu di semua lapisan, termasuk yang menjawat jawatan sebagai wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung atau pemimpin akar umbi.
"Yang paling penting adalah ahli DAP tidak kira bangsa mahupun agama, harus menghayati perjuangan parti dan berjuang demi negara Malaysia untuk rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan media semalam.
Syahredzan mengulas kenyataan Pengerusi DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin yang mendakwa beberapa pemimpin Bersatu d Selangor telah bertemu dengannya dan menyatakan hasrat menyertai DAP.
Beliau menambah, walaupun secara amnya penyertaan mana-mana rakyat Malaysia ke dalam DAP adalah dialu-alukan, DAP tidak pernah ghairah untuk mencari ahli semata-mata untuk menambah angka keahlian.
"Harus ditekankan bahawa usaha untuk menarik lebih ramai ahli pelbagai bangsa termasuk daripada masyarakat Melayu tidak akan dilaksanakan dengan terburu-buru atau menggadaikan prinsip parti.
"Ia tidak akan dilaksanakan dengan membawa masuk ahli parti lain yang kecewa dengan pergolakan dalam parti mereka dan kini mencari dahan baharu untuk berpaut," jelasnya.

0 Ulasan