Berikut adalah kenyataan media Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor pada 6 Mei 2026:
Demi kesejahteraan dan keutamaan kepada rakyat, maka UMNO Negeri Sembilan ingin menegaskan ketetapan seperti berikut:
UMNO Negeri Sembilan menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk kita mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan seperti mana yang diputuskan di dalam Biro Politik UMNO Malaysia dan Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan.
Semua ADUN UMNO Barisan Nasional juga akan menjalankan tanggungjawab seperti biasa, malah terus memberi fokus, memperhebatkan khidmat bakti kepada rakyat dan memastikan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya dari semasa ke semasa.
Kami kekal hilang kepercayaan kepada YAB Menteri Besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
UMNO Negeri Sembilan juga berharap krisis berkaitan kepimpinan adat di Negeri Sembilan ketika ini akan dapat diselesaikan dengan baik, harmoni, mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan mengikut tatacara adat yang sebenarnya.
UMNO Negeri Sembilan juga menyeru agar rakyat dapat menghormati segala proses yang sedang berlaku, tidak memberikan sebarang komen yang berbentuk provokatif apatah lagi menghina Institusi Adat di Negeri Sembilan.
.svg.png)
0 Ulasan