Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai "rubber stamp"

 

Berikut adalah kenyataan media Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor pada 6 Mei 2026:

Kenyataan ini dikeluarkan bagi menangkis pandangan serong dan negatif daripada sebahagian pemimpin politik dan pihak-pihak tertentu yang menganggap Titah D.Y.M.M. Sultan Selangor sempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan negeri Selangor ke-15 pada 20 April 2026, telah mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri dan telah melanggar konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Negara ini.

Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor ingin memperbetulkan persepsi salah ini dan menegaskan bahawa Titah D.Y.M.M. Sultan adalah selari dengan peranan seorang Raja di dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan, (Titah adalah penggunaan bahasa “Istana” untuk ucapan seorang Raja atau Sultan yang bermaksud nasihat di dalam bahasa standard atau harian). Titah D.Y.M.M. Sultan adalah bagi memastikan segala tindakan Kerajaan Negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya.

YAB Menteri Besar Selangor mesti berunding dengan D.Y.M.M. Sultan dalam hal pentadbiran negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat. D.Y.M.M. Sultan berhak dimaklumkan dan memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan. Nasihat Baginda adalah berasaskan kepentingan rakyat, bukan kepentingan politik.

Segala nasihat, teguran atau peringatan daripada D.Y.M.M. Sultan adalah bertujuan memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan penuh tanggungjawab. D.Y.M.M. Sultan juga sering menerima aduan daripada rakyat mengenai masalah seperti banjir, kutipan sampah, dan jalan rosak. Aduan biasanya disertakan dengan nama, alamat dan nombor telefon pengadu sebagai tanda keikhlasan mereka memohon campur tangan Sultan.

Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan, D.Y.M.M. Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai “rubber stamp” atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi Baginda sebagai Sultan. D.Y.M.M. Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang “check and balance” terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara.

Ahli-ahli Dewan di-Raja yakin D.Y.M.M. Sultan yang mempunyai pengalaman memerintah selama tempoh 25 tahun sebagai Sultan Selangor dan 33 tahun sebagai Raja Muda Selangor, amat memahami dan mendalami peranan Baginda mengikut undang-undang selaras dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan