Jentera Pemuda PAS bersiap siaga PRN NS, Melaka, Johor

 

Pemuda PAS menegaskan bahawa seluruh jenteranya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta terus memperkemaskan gerak kerja pilihan raya sebagai persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa. 

Pengarah Pilihan Rayanya, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, dalam masa yang sama, Pemuda PAS sentiasa mengikuti secara dekat perkembangan politik negara serta menambah baik strategi yang lebih ampuh demi mencapai keputusan cemerlang dalam kedua-dua PRN tersebut.

Menurut beliau, Pemuda PAS berpandangan bahawa siri percanggahan kenyataan sesama pimpinan UMNO berhubung krisis politik Negeri Sembilan serta cadangan penangguhan PRN Melaka dan Johor jelas menggambarkan ketidaksepaduan pendirian dan jawapan dalam UMNO walaupun tempoh penggal Dewan Undangan Negeri yang semakin hampir tempoh tamatnya. 

"Demikian juga kenyataan daripada pimpinan Pakatan Harapan sebelum ini yang menggesa agar PRN kedua-dua negeri itu ditangguhkan. 

"Namun kini, DAP mula arahkan untuk menghidupkan jentera untuk bersiap-siaga dengan sebarang kebarangkalian. 

"Kenyataan yang berubah-ubah memperlihatkan gabungan antara UMNO dan PH dalam keadaan retak menanti belah," katanya dalam kenyataan media pada 5 Mei 2026.

Walau bagaimanapun, Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, Pemuda PAS mengingatkan seluruh jenteranya agar tidak menjadikan keadaan parti-parti lawan yang masih terumbang-ambing dan bercelaru ini sebagai alasan untuk mengambil mudah, leka atau bertangguh dalam membuat persiapan. 

Menurut beliau, seluruh jentera Pemuda PAS, mesti terus berdisiplin, fokus dan bekerja dengan lebih tersusun demi memastikan PAS benar-benar bersedia menghadapi apa jua kemungkinan.

"Pertembungan hebat antara parti-parti komponen kerajaan sudah tidak dapat disembunyikan sehingga menjejaskan kestabilan kerajaan. 

"Pergeseran yang berlarutan menggambarkan rundingan masih gagal  dan ia  berkemungkinan besar membawa kepada PRU akan berlangsung lebih awal daripada jangkaan," katanya. 

Sehubungan itu, Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, Pemuda PAS menyeru seluruh saf sayap itu di semua peringkat agar segera memperkasa kekuatan jentera, memperhebat usaha pengumpulan dana, menyusun gerak kerja lapangan, memperkemas latihan petugas serta memperkukuh kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Menurut beliau, PRN tiga negeri itu adalah detik penting untuk memperluaskan pengaruh PAS melalui jenama Perikatan Nasional di negeri-negeri Pantai Barat. 

"Inilah peluang terbaik untuk membuktikan bahawa PAS mampu tampil sebagai wadah kepimpinan yang stabil, berprinsip dan diyakini rakyat, sekali gus menjadi langkah awal yang signifikan ke arah menerajui Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan