Berikut adalah kenyataan media Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain pada 7 Mei 2026:
1. UMNO Negeri Selangor mengambil maklum serta menjunjung titah kenyataan media rasmi DYMM Sultan Selangor bertarikh 7 Mei 2026 yang telah memuktamadkan pendirian Baginda bahawa aktiviti penternakan babi tidak dibenarkan dilaksanakan di mana-mana daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan.
2. Kenyataan terbaharu Istana Selangor ini secara jelas telah memperincikan pelbagai faktor penting yang menjadi asas kepada pendirian Baginda, termasuk aspek pencemaran alam sekitar, risiko terhadap sumber air, kesan kepada kawasan tadahan air, nilai hartanah, penggunaan tanah yang terhad serta kepentingan menjaga keharmonian rakyat di Negeri Selangor.
3. Malah, DYMM Sultan Selangor turut memberikan penjelasan yang sangat seimbang dan rasional dengan mencadangkan agar bekalan daging babi bagi masyarakat bukan Islam diperoleh melalui import dari negeri lain seperti Sarawak, sebagaimana dilaksanakan oleh negara seperti Singapura.
4. Ini membuktikan bahawa pendirian DYMM Sultan Selangor bukan didorong oleh sentimen politik atau emosi semata-mata, sebaliknya dibuat secara teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh, kestabilan negeri serta kelangsungan sumber alam yang menjadi keperluan jutaan rakyat.
5. Justeru, selepas titah DYMM Sultan Selangor, kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor dan kini penegasan sekali lagi daripada pihak Istana Selangor sendiri bahawa isu ini perlu “dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop)”, maka semua pihak sewajarnya menghentikan sebarang cubaan mempolitikkan atau memanjangkan polemik ini.
6. UMNO Selangor berpandangan bahawa sebarang kenyataan yang cuba mempertikaikan, memutarbelitkan atau memperkecilkan pendirian rasmi institusi negeri dalam isu ini hanya akan mengeruhkan keadaan serta menimbulkan keresahan rakyat.
7. Ironinya, pihak yang selama ini begitu lantang bercakap soal menghormati institusi dan mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan kini dilihat sukar menerima pendirian rasmi institusi negeri apabila ia tidak selari dengan agenda politik mereka.
8. UMNO Selangor ingin mengingatkan semua pihak bahawa institusi Raja Berperlembagaan bukan sekadar simbol semata-mata, tetapi merupakan sebahagian penting dalam sistem semak dan imbang demi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan penuh tanggungjawab serta berpaksikan kepentingan rakyat.
9. Dalam suasana rakyat sedang berhadapan pelbagai cabaran kos sara hidup dan isu harian yang lebih mendesak, semua pihak seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kestabilan negeri dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya terus menjadikan isu yang telah dimuktamadkan oleh DYMM Sultan Selangor sebagai polemik politik berpanjangan.

0 Ulasan