UMNO konsisten pertahan Sultan Selangor - Megat Zulkarnain

 


Berikut adalah kenyataan media Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin pada 7 Mei 2026:

1. UMNO Negeri Selangor menyokong penuh, menjunjung kasih serta menyambut baik kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor bertarikh 6 Mei 2026 berhubung peranan dan tanggungjawab Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.

2. Kenyataan tersebut amat penting dalam memperjelaskan kepada rakyat bahawa setiap titah, nasihat, teguran dan peringatan DYMM Sultan Selangor adalah selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta peranan Baginda sebagai Ketua Negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.

3. UMNO Selangor berpandangan bahawa institusi Raja bukan sekadar simbol semata-mata, tetapi merupakan sebahagian penting dalam sistem semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berjalan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat.

4. Justeru, semua pihak sewajarnya menghormati serta memahami kedudukan dan peranan DYMM Sultan Selangor menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tanpa cuba mempolitikkan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap titah serta pandangan Baginda.

5. UMNO Selangor juga ingin menegaskan bahawa kami kekal konsisten dalam menjunjung dan mempertahankan institusi Kesultanan Negeri Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi mahupun cubaan memperlekehkan martabat DYMM Sultan Selangor.

6. Sebelum ini, UMNO Selangor turut konsisten tampil mempertahankan titah DYMM Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di negeri Selangor yang cuba diputarbelitkan oleh pihak tertentu, selain mengecam tindakan biadab menyunting dan menghina imej DYMM Sultan Selangor yang jelas melampaui batas adab, budaya serta prinsip menghormati institusi Raja.

7. Bagi UMNO Selangor, institusi Raja Melayu adalah payung negeri, lambang perpaduan rakyat serta benteng kestabilan yang wajib dipelihara dan dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar politik.

8. Dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini, UMNO Selangor menyeru semua pihak agar lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Kesultanan serta tidak menjadikan perkara melibatkan DYMM Sultan Selangor sebagai bahan polemik politik sempit.

9. Tumpuan utama semua pihak seharusnya adalah kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri serta memastikan pentadbiran berjalan dengan berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.







Catat Ulasan

0 Ulasan