Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain di negara ini.
"Sebaliknya, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling menghormati," titah baginda dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha pada 21 Mei 2026.
Baginda menitahkan agar orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata.
"Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah," titah baginda.
Sempena sambutan Aidiladha, Sultan Sharafuddin menitahkan agar semua kaum, bangsa dan semua agama di negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai.
"Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam," titah baginda.
Baginda turut memerhatikan sejak akhir-akhir ini terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli-ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat.
"Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri," titah baginda.

0 Ulasan