Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin mengingatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa laluan UEC ke IPTA berlaku semasa Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Menteri Pendidikan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Muhyiddin sebenarnya mempolitikkan isu UEC apabila mendakwa laluan UEC ke IPTA dibuka demi mengekalkan sokongan terhadap DAP.
"Masa dia Menteri Pendidikan, sijil UEC boleh digunakan masuk ke IPG untuk kursus Bahasa Cina dengan syarat ada SPM. "Apakah IPG bukan IPTA? Maka apa beza dengan syarat KPT sekarang?
"Boleh masuk ke IPTA guna sijil UEC dengan syarat ada SPM. Itu pun untuk 'laluan' kursus tertentu seperti Bahasa Cina.
"Radzi Jidin tahu. Ingatkanlah Muhyiddin," katanya dalam hantaran Facebook pada 16 Mei 2026.
Mohd. Puad juga meminta Muhyiddin jangan cuba mendabik dada dalam isu Dong Zong.
"Masa dia menteri, KPM mahu laksana kertas peperiksaan BM di SJKC sama taraf dengan di SK.
"Dong Zong bantah. Muhyiddin tunduk dengan bantahan itu," katanya.

0 Ulasan