Mustahil UMNO boleh dicucuk hidung, DAP pun tak berani - Puad

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan, sekiranya ada pihak luar khususnya DAP yang mahu UMNO menyingkirkan MCA atau MIC, perkara itu tidak akan berlaku.  

“Mustahil UMNO boleh dicucuk hidung. DAP pun tidak akan berani. Lagi pun, mesti ada konsensus dari parti komponen,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.  

Menurutnya, UMNO tidak mempunyai sebarang niat untuk menyingkirkan MCA atau MIC daripada Barisan Nasional (BN) kerana parti itu mahu melihat keanggotaan BN bertambah.  

“UMNO lebih suka keanggotaan BN bertambah. Tetapi terhalang kerana peraturan BN menetapkan mesti ada persetujuan semua parti komponen.  

“Sebab itu BN mempunyai anggota berstatus ‘Friends of BN’ seperti Makkal Sakti, MUIP, Parti Punjabi, KIMMA, IPF dan Parti Cinta Malaysia. Terbukti mereka adalah rakan yang setia dan mudah berunding,” ujarnya.  

Beliau turut menasihati MCA agar tidak takut bayang-bayang sendiri kerana setiap parti mempunyai fasa turun naik seperti UMNO.  

“Mesti ada jalan keluar. Tidak perlu menuding jari,” katanya.  

Sementara itu, Mohd Puad turut mempertahankan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang didakwa rasis oleh Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng.  

Menurutnya, tuduhan itu tidak berasas kerana Akmal hanya bertindak balas terhadap pihak yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan orang Melayu.  

“Apa bukti orang bukan Melayu tidak suka Akmal? Teik Cheng sebaliknya lebih wajar bertanya kenapa bukan Melayu tidak menyukai MCA?  

“Akmal tidak memulakan kontroversi, sebaliknya bertindak atas kecuaian orang lain yang tidak sensitif. Tindakannya, sama ada boikot atau laporan polis, tidak melanggar undang-undang. Akmal bukan rasis,” tegasnya.  

Beliau menyifatkan tuduhan bahawa Akmal ‘gila atau tidak berakal’ sebagai lebih rasis dan satu tindakan baling batu sembunyi tangan.  

“MCA jangan dilihat memihak kepada individu atau pihak yang memulakan kontroversi agama atau kaum. MCA pun tahu, menjadi rasis tidak menjamin bukan Melayu kembali menyokong parti itu.  

“Ada sebab lain. Cari sebab-sebab itu. Tepuk dada, tanya selera,” katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan