Jabatan Peguam Negara fail rayuan kes Syed Saddiq

 

Berikut adalah kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini:

Jabatan ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025 yang telah membenarkan rayuan tertuduh, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023, serta melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada kesemua empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Sebagai rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah mensabitkan tertuduh atas keempat-empat pertuduhan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh (7) tahun, dua (2) sebatan serta denda berjumlah RM10 juta.

Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, Jabatan ini telah menfailkan Notis Rayuan pada hari ini bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut.

Jabatan ini ingin menegaskan bahawa proses rayuan ini merupakan sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah. Ia adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak. 

Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan