Berikut adalah kenyataan media Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini:
1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima aduan tentang isu yang telah tular semula selepas penularan yang sama pada tahun 2019, melibatkan dakwaan beberapa warga Pakistan memperoleh kad pengenalan biru dan mengatakan “Pejabat JPN Sabah sentiasa dipenuhi oleh Pakistan Buat Permohonan IC”. Dakwaan tersebut turut disertakan dengan beberapa gambar kad pengenalan yang didakwa berkaitan.
2. Isu ini telah diambil tindakan di mana bagi pemegang Kad Pengenalan Mohd Izaz Bin Abit, pihak Timbalan Pendakwaraya telah mengarahkan tindakan undang-undang diambil kerana mendapati individu berkenaan menggunakan sijil kelahiran milik orang lain untuk mendapatkan kad pengenalan. Kad pengenalan berkenaan juga telah dirampas selepas pengakuan diperoleh daripada individu dan penganjur permohonan tersebut.
3. Semakan kesahihan turut dibuat ke atas nombor kad pengenalan yang ditularkan dan mendapati individu-individu berikut merupakan warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan:
• Pemegang Kad Pengenalan Abd Rauf Bin Hamzah berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b).
• Pemegang Kad Pengenalan Mohd Abzah Ulamai Dar berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(a).
• Pemegang Kad Pengenalan Said Bashar Bin Shah Zadar berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) dengan pengesahan bahawa bapanya merupakan warganegara Malaysia sejak 6 Mac 1958.
4. Dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan Malaysia, pembuktian kelayakan untuk dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia adalah di bawah tanggungjawab setiap pemohon dan proses pertimbangan adalah tertakluk kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 [L.N.82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak, dan peraturan imigresen.
6. Jabatan ini ingin menegaskan syarat-syarat ini hanya melayakkan permohonan dikemukakan tetapi tidak menjamin bahawa permohonan kewarganegaraan tersebut akan diluluskan kerana sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia tidak akan memberikan kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya atau sebarang keistimewaan tertentu.
0 Ulasan