Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan tidak selari dengan Dasar Pendidikan Nasional (DPN).
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UEC juga tidak berpaksikan kepada teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digariskan di dalam Akta 550.
"Bagi saya, pihak-pihak yang mendesak kerajaan supaya mengiktiraf UEC ini perlulah baca, faham dan hadam terlebih dahulu Akta 550 itu sebelum membuat sebarang tuntutan. Itu adalah perkara asas untuk bercakap berkaitan sesuatu perkara dalam konsep hidup dalam sebuah negara di mana kita perlu meletakkan asas kenegaraan itu sebagai perkara pokok.
"Kita jangan hanya tahu nak bercakap semua perkara tetapi tidak memahami perkara asas kepada topik atau isu yang dibangkitkan itu", katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tegas beliau, pihak-pihak yang sering dan berterusan mendesak supaya UEC diiktiraf itu, perlu lebih matang dan tidak semberono dalam membuat apa-apa tuntutan yang tidak selari dengan apa-apa akta di negara ini.
"Saya menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik daripada DAP dan juga pejuang-pejuang UEC, supaya menghormati Akta 550 dan mengutamakan kepentingan nasional khususnya dalam memartabatkan pendidikan negara."
Mahdzir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah menambah, isu pengiktirafan UEC tidak sepatutnya dibangkitkan lagi jika pihak pejuang-pejuang UEC menghormati segala akta yang telah termaktub secara terang dan jelas.
"Saya nak bertanya, apa keperluan yang sangat mendesak bagi UEC untuk diiktiraf, sedangkan sijil-sijil lain yang bertaraf antarabangsa seperti O-Level dan IGCSE sudah sedia ada dan telah diiktiraf oleh kerajaan sejak sekian lama di negara kita."
Tambah Mahdzir, semua pihak tahu bahawa UEC tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan kerana ada komponen UEC yang tidak sepadan, terutamanya dari segi kandungan silibus subjek Sejarah yang berfokus kepada sejarah negara China dan Asia Timur, yang bukan silibus sejarah Malaysia mengikut standard Kementerian Pendidikan (KPM).
Selain tidak menggunakan Kurikulum Kebangsaan, UEC juga kata Mahdzir, tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sebaliknya menggunakan Mandarin sebagai bahasa pengantar utamanya.
UEC juga jelas beliau, tidak dipantau atau diseragamkan oleh KPM seperti sekolah-sekolah swasta yang lain.
"Bagaimana kerajaan nak mengiktiraf UEC jika semua itu tidak selari dan melanggar Akta 550? Apa justifikasinya kalau kerajaan nak iktiraf? Jangan kerana hanya mahu meraih laba politik, UEC terus dijadikan modal."
"Cukup sekadar UEC itu dilaksana secara bersendirian atas dasar sekadar ada dan tidak diusik oleh pihak lain. Jangan sampai ia diharamkan terus kalau sudah menjadi barah yang merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini" tegas Mahdzir.
BACA LAGI

0 Ulasan