Kerajaan mengesahkan tiada larangan bagi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) termasuk pihak hotel untuk menggunakan dekorasi atau hiasan perayaan agama selain Islam di premis masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2023 yang membenarkan penggunaan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan di bahagian dapur atau outlet hotel.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kebenaran tersebut tertakluk kepada beberapa syarat utama termasuklah tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban di premis berkenaan.
"Dekorasi, imej, hiasan atau ilustrasi yang berhubungan dengan perayaan selain daripada agama Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal adalah dibenarkan.
"Namun, penggunaan peralatan sembahan adalah tidak dibenarkan dan dekorasi serta hiasan premis tidak boleh melibatkan paparan SPHM serta imej Logo Halal SPHM," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Zulkifli berkata, sifat hormat-menghormati kepelbagaian budaya dan agama merupakan identiti masyarakat majmuk di negara ini, justeru pihak industri digalakkan mematuhi piawaian halal tanpa mengetepikan aspek keharmonian kaum.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan hotel dan premis makanan supaya sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa pensijilan halal berkaitan bagi mendapatkan penjelasan serta panduan yang tepat.
Katanya, kerjasama erat antara pihak berkuasa agama Islam negeri bersama JAKIM dan pemain industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar halal dilaksanakan secara berhemah.
"Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kesucian pensijilan halal Malaysia, di samping memastikan keharmonian antara agama dan budaya terus diperkukuh," katanya.

0 Ulasan