Dewan Pemuda PAS mengecam sekeras-kerasnya cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong supaya darurat diisytiharkan bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengarah Pilihan Rayanya, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, cadangan itu adalah satu langkah terkebelakang yang merosakkan tiang seri demokrasi negara.
"Apabila berdepan tekanan politik, kegagalan mengurus krisis ekonomi, kenaikan kos sara hidup, isu diesel, krisis bekalan dan pergolakan dalaman kerajaan perpaduan, tiba-tiba darurat dijadikan alasan untuk menyelamatkan kuasa.
"Rakyat berhak bertanya, adakah mereka benar-benar mahu melindungi negara atau sebenarnya takut kehilangan sokongan rakyat?" katanya dalam kenyataan media pada 15 April 2026.
Ironinya, menurut beliau, ketika negara berdepan pandemik COVID-19 yang jauh lebih dahsyat, ketika rakyat mati, hospital penuh dan ekonomi lumpuh, merekalah antara pihak yang paling kuat mendesak supaya pilihan raya tetap diadakan.
Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, ketika itu, mereka bercakap soal demokrasi, mandat rakyat dan hak rakyat memilih kerajaan.
"Hari ini apabila sokongan mula merosot, ekonomi makin tenat, rakyat makin marah dan kerajaan perpaduan makin bercelaru, tiba-tiba demokrasi dianggap tidak penting.
"Dulu mereka kata pilihan raya mesti diteruskan walaupun wabak sedang mengganas. Hari ini bila gelombang penolakan rakyat makin kuat, mereka pula yang mahu sembunyi di sebalik darurat.
"Inilah wajah sebenar politik hipokrit. Demokrasi dipertahankan hanya apabila menguntungkan mereka, tetapi dicampak ke tepi apabila kuasa sendiri mula tergugat," jelasnya.
Menurut beliau, Dewan Pemuda PAS menegaskan bahawa sebarang cadangan darurat untuk menangguhkan PRN tanpa ancaman keselamatan yang sebenar adalah pencabulan terhadap prinsip demokrasi dan penghinaan terhadap hak rakyat untuk menentukan masa depan negeri masing-masing.
"Rakyat tidak bodoh. Rakyat tahu membezakan antara darurat demi keselamatan negara dengan darurat demi menyelamatkan kuasa politik yang semakin rapuh," katanya.

0 Ulasan