Berikut adalah kenyataan media Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin pada 7 Mei 2026:
1. Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor menjunjung titah serta menyambut baik kenyataan media rasmi DYMM Sultan Selangor bertarikh 7 Mei 2026 yang sekali lagi menegaskan bahawa isu penternakan babi di Negeri Selangor perlu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop).
2. Pemuda UMNO Selangor turut menyokong penuh kenyataan rasmi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor serta Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor yang secara konsisten mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor sejak awal isu ini dibangkitkan.
3. DYMM Sultan Selangor bukan sahaja telah bertitah dengan jelas sebelum ini, malah pihak Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor turut tampil memperjelaskan kedudukan dan peranan Baginda dalam sistem Raja Berperlembagaan. Kini, Istana Selangor sekali lagi mengeluarkan kenyataan rasmi yang memperincikan faktor pencemaran, keselamatan sumber air, penggunaan tanah, keharmonian rakyat serta kepentingan negeri secara menyeluruh sebagai asas kepada pendirian Baginda.
4. Persoalannya, apa lagi yang masih cuba diperdebatkan oleh pihak tertentu yang masih dengan pelbagai cara dan usaha untuk terus membahas isu tersebut.
5. Sepertinya ada pihak-pihak tertentu dilihat terus cuba memanjangkan polemik ini walaupun pendirian rasmi DYMM Sultan Selangor sudah begitu jelas dan dimuktamadkan sepenuhnya oleh pihak Istana sendiri.
6. Lebih mengecewakan apabila masih ada pimpinan tertentu yang cuba memberikan gambaran seolah-olah titah dan pendirian DYMM Sultan Selangor hanyalah “pandangan” yang boleh dipilih untuk dipatuhi atau diketepikan mengikut kesesuaian kepentingan politik mereka.
7. Sikap berterusan seperti ini amat tidak bertanggungjawab terutamanya dalam soal menghormati institusi dan mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan.
8. Pemuda UMNO Selangor ingin mengingatkan semua peringkat pimpinan baik dalam pentadbiran apalagi dalam pimpinan politik, bahawa seluruh rakyat sedang memerhati. Segera hentikan daripada terus mempolitikkan isu yang telah dimuktamadkan sendiri oleh DYMM Sultan Selangor dan bergerak kehadapan dengan menjunjung penuh titah Baginda.
9. Isu ini bukan lagi soal politik kepartian semata-mata. Ini melibatkan penghormatan dan pematuhan terhadap Institusi Raja, keharmonian serta perpaduan seluruh Rakyat Negeri Selangor.
10. Pemuda UMNO Selangor menegaskan bahawa kami akan terus berdiri teguh mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, menjunjung titah DYMM Sultan Selangor serta menolak sebarang cubaan pihak tertentu yang ingkar pendirian serta ketetapan muktamad DYMM Sultan Selangor, demi agenda atau kepentingan pihak-pihak tertentu.

0 Ulasan