Mahasiswa Keadilan nafi tarik sokongan terhadap Anwar

 


Setiausaha Agung Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Aqeef Salih menafikan bahawa kenyataan media berhubung tindakan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular sejak 10 Mei 2026 membawa pendirian rasmi organisasi. 

Menurut beliau, kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM. 

Katanya, ia hanyalah tindakan beberapa kerat individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi.

"Lebih memalukan, kenyataan tersebut langsung tidak disertakan nama dan jawatan individu yang bertanggungjawab mengeluarkannya. 

"Ini jelas menunjukkan ia dibuat secara tidak profesional, tidak bertanggungjawab dan berniat tidak baik. 

"Mana-mana pihak yang benar-benar berani dengan pendirian sendiri sepatutnya tampil secara terbuka, bukannya berselindung di sebalik nama organisasi mahasiswa," katanya dalam kenyataan media pada 10 Mei 2026.

Aqeef menegaskan, MKM sentiasa berpegang kepada disiplin organisasi, adab perjuangan dan proses demokrasi yang matang. 

Menurut beliau, sebarang pandangan peribadi tidak boleh dipaksakan sebagai pendirian rasmi organisasi tanpa mandat serta persetujuan bersama. 

"MKM tidak akan sesekali membenarkan plattorm perjuangan mahasiswa diperalat untuk kepentingan politik individu tertentu. 

"MKM sebagai sayap mahasiwa PKR akan sentiasa menghormati institusi presiden dan menyokong penuh kepimpinan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim," jelasnya.

Sehubungan itu, Aqeef berkata, pihak sekretariat akan meneliti perkara tersebut dengan serius termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama Mahasiswa Keadilan Malaysia tanpa kebenaran. 

"MKM akan terus kekal fokus membawa suara mahasiswa dengan penuh tanggungjawab, prinsip dan integriti," katanya.

BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan