Amazon paksa rakyat Palestin nyatakan alamat sebagai Israel jika mahu penghantaran percuma

Gambar: The Palestinian Information Center

WASHINGTON 16 Feb. - Syarikat e-dagang antarabangsa, Amazon dikecam kerana meminggirkan rakyat Palestin daripada perkhidmatan penghantaran percuma ke Tebing Barat.

The Palestinian Information Center yang memetik Financial Times melaporkan, pelanggan-pelanggan yang tinggal di kawasan itu tidak dikenakan caj penghantaran sekiranya mereka menyatakan alamat mereka terletak di Israel.

Berdasarkan siasatan Financial Times di Tebing Barat, Amazon menawarkan penghantaran percuma jika alamat pelanggan terletak di Israel dan nilai pesanan keseluruhan melebihi AS$49.

Bagaimanapun, pelanggan-pelanggan yang menyatakan alamat mereka sebagai "wilayah-wilayah Palestin" terpaksa membayar caj penghantaran yang bermula dari AS$24.

Jurucakap Amazon, Nick Caplin berkata, "Sekiranya pelanggan dari wilayah-wilayah Palestin memasukkan alamatnya dan memilih Israel sebagai negara, mereka boleh mendapatkan penghantaran percuma melalui promosi yang sama."

Kebanyakan pertubuhan hak asasi manusia mengkritik polisi Amazon itu.

Seorang peguam hak asasi manusia membidas polisi itu sebagai diskriminasi terang-terangan terhadap bakal pelanggan mengikut kewarganegaraan mereka.

Sumber: Amazon forces Palestinians to list address as Israel for free shipping

Artikel-artikel lain:

PBB dedahkan pangkalan data syarikat yang beroperasi di kawasan pendudukan haram Israel

Gambar: The Palestinian Information Center

GENEVA 13 Feb. - Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengeluarkan senarai lebih 100 syarikat yang didakwa terlibat dengan pencabulan hak asasi manusia dengan beroperasi di kawasan pendudukan haram Israel di Tebing Barat.

Memetik laporan The Palestinian Information Center, langkah PBB itu merupakan usaha yang julung-julung kali diadakan untuk mengecam syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan kegiatan pendudukan haram Israel di wilayah-wilayah Palestin yang diduduki.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet, ketika mengeluarkan kenyataan bersama laporan tersebut berkata, beliau sedar bahawa isu tersebut sedan dan akan sentiasa mencetuskan kontroversi.

"Namun, selepas proses semakan yang menyeluruh dan teliti, kami berpuas hati bahawa laporan berasaskan fakta ini mencerminkan pertimbangan serius yang diberikan terhadap mandat yang tiada dahuluannya dan sangat rumit ini, dan ia selaras dengan kehendak Majlis Hak Asasi Manusia yang terkandung dalam resolusi 31/36," jelasnya.

Pada 2016, Majlis Hak Asasi Manusia PBB meluluskan resolusi 31/36, meminta Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (OHCHR) mengeluarkan laporan penyiasatan tentang "kesan pendudukan terhadap hak-hak sivil, politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan rakyat Palestin di Wilayah Palestin Yang Diduduki, termasuk timur Jerusalem.

Disebabkan oleh tekanan daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS), penyiaran laporan tersebut tertangguh selama bertahun-tahun sekali gus menimbulkan kekesalan dalam kalangan pertubuhan hak asasi manusia di seluruh dunia.

Penyiaran laporan berkenaan pada 12 Februari 2020 dengan pantas dikritik oleh rejim Zionis Israel dan sekutu-sekutunya.

Menteri Luar Israel, Israel Katz mencemuhnya sebagai "kotoran" ke atas OHCHR dan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap majlis tersebut bagi pihak rejim.

Laporan itu menyenaraikan sebanyak 112 syarikat yang didakwa oleh OHCHR mempunyai bukti yang kukuh tentang penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti berkaitan penempatan haram.

Antara syarikat-syarikat itu adalah Airbnb, Booking.com, Expedia Group dan Motorola Solutions.

Bagaimanapun, laporan itu tidak mengesyorkan tindakan sekatan atau mempunyai kesan yang konkrit terhadap syarikat-syarikat terbabit.

Human Rights Watch (HRW) yang lantang mengkritik aktiviti pendudukan haram rejim Zionis Israel mengalu-alukan laporan tersebut.

"Berurus niaga dengan pihak di kawasan penempatan harapm adalah serupa dengan dengan membantu mereka yang melakukan jenayah perang," kata Timbalan Pengarah Eksekutif HRW (Advokasi), Bruno Stagno.

Senarai itu mengandungi 94 syarikat Israel dan 18 syarikat antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan kawasan penempatan haram.

Mereka dikatakan terlibat dengan sekurang-kurangnya salah satu daripada 10 aktiviti yang dinyatakan oleh OHCHR:


  • Membekalkan peralatan dan bahan untuk melancarkan pembinaan dan perluasan kawasan penempatan dan tembok serta infrastruktur berkaitan;
  • Membekalkan peralatan intipan dan identifikasi untuk kawasan penempatan, tembok dan pusat pemeriksaan yang berkaitan secara langsung dengan kawasan penempatan;
  • Membekalkan peralatan untuk merobohkan rumah dan hartanah, memusnahkan ladang-ladang pertanian, rumah-rumah hijau, kebun zaitun dan tanaman;
  • Membekalkan perkhidmatan, peralatan dan bahan berkaitan keselamatan kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di kawasan penempatan;
  • Menyediakan perkhidmatan dan utiliti untuk menyelenggara dan mengekalkan kawasan penempatan termasuk pengangkutan;
  • Operasi perbangkan dan kewangan yang membantu dalam membangunkan, memperluaskan atau mengekalkan kawasan penempatan dan aktiviti-aktiviti mereka, termasuk pinjaman perumahan dan perniagaan;
  • Penggunaan sumber asli khususnya air dan tanah untuk tujuan perniagaan;
  • Pencemaran alam dan membuang atau memindahkan sisa ke perkampungan Palestin;
  • Menguasai pasaran kewangan dan ekonomi Palestin, termasuk amalan yang mendiskriminasi syarikat-syarikat Palestin seperti sekatan pergerakan, pentadbiran dan perundangan; dan
  • Menggunakan manfaat dan melabur semula dalam syarikat-syarikat yang dimiliki sepenuhnya atau sebahagiannya oleh pendatang untuk membangunkan, memperluaskan dan menyelenggara kawasan penempatan.


Facebook padam laman Palestinian Information Center

Gambar: The Palestinian Information Center

GAZA 8 Feb. - Facebook telah memadamkan laman alternatif Palestinian Information Center (PIC) baru-baru ini selepas berbuat demikian terhadap laman rasmi yang mempunyai lebih 5 juta pengikut pada Oktober 2019 dan dua lagi laman sokongan pada Disember lalu.

Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan kempen terhadap kandungan berkaitan Palestin dalam media sosial.

Pentadbir PIC berkata, tindakan memadamkan laman tersebut dilakukan tanpa sebarang notis terlebih dahulu atau amaran berkaitan kandungan yang mematuhi garis panduan komuniti Facebook sepenuhnya.

PIC menggesa Facebook untuk menarik balik tindakan itu dan berhenti menyekat kandungan berkaitan Palestin dalam rangkaian antarabangsa.

Mereka turut mengesahkan tindakan telah diambil untuk memulihkan semula laman berkenaan.

Tindakan berunsur penindasan daripada Facebook itu bukan yang pertama memandangkan PIC telah beberapa kali diganggu di mana ramai pengendalinya dikenakan sekatan sementara atau untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan.

Pada masa ini, PIC merupakan sumber dalam talian yang paling banyak dibaca.

Ia dilancarkan pada tahun 1997 dan kini melaporkan berita dan artikel tentang Palestin dalam 8 bahasa.

Walaupun berdepan serangan-serangan sistematik, PIC tetap tidak putus asa melaporkan kebenaran tentang Palestin dan pendudukan haram rejim Zionis Israel.

Portal itu juga memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara rakyat Palestin serta golongan yang ditindas di seluruh dunia.


Catat Ulasan

0 Ulasan