Tun M memang tak mahu Anwar jadi PM, kata Wan Saiful Wan Jan

Gambar: Facebook Anwar Ibrahim


Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) yang juga bekas Pengerusi Pakatan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad memang tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri yang pernah disandangnya sebanyak dua kali kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikat itu didedahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dalam esei bertajuk 'Why Did Bersatu Leave Pakatan Harapan' yang diterbitkan oleh ISEAS - Yusof Ishak Institute.

Esei tersebut boleh dimuat turun dalam format Adobe Acrobat Reader dari laman sesawang ISEAS melalui pautan https://www.iseas.edu.sg/articles-commentaries/trends-in-southeast-asia/trends-in-southeast-asia-2020/why-did-bersatu-leave-pakatan-harapan-by-wan-saiful-wan-jan/.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan pendirian tersebut dalam beberapa perbincangan dan mesyuarat tertutup selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang turut dihadiri Wan Saiful sendiri.

Dr Mahathir dikatakan tetap bertegas dan konsisten bahawa beliau tidak mahu melihat Anwar menjadi Perdana Menteri selepasnya, walaupun apa yang dikatakan secara terbuka adalah yang sebaliknya.

"Bagi Dr Mahathir, Anwar ialah seseorang yang tidak akan memperjuangkan orang Melayu atau mempertahankan hak-hak orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Dr Mahathir juga percaya bahawa rancangan Anwar boleh digagalkan sekiranya tiga parti Melayu terbesar - Bersatu, UMNO dan PAS - digabungkan supaya kerajaan baharu pimpinan Melayu dapat dibentuk - sekali gus menyingkirkan DAP yang didominasi kaum Cina dan Keadilan (PKR) yang pelbagai kaum dalam PH," kata Wan Saiful.

Parti Sendiri Pun Kucar-Kacir, Lagi Ada Hati Mahu Jadi PM

Hubungan Bersatu dengan PKR dan Dr Mahathir dengan Anwar disifatkan seperti 'kahwin kontrak' dan sebahagian daripada strategi politik ketika menyertai PH.

Malah, Wan Saiful mengaku ramai pemimpin Bersatu berkongsi pandangan yang serupa dengan Dr Mahathir dalam soal peralihan kuasa kepada Anwar.

Sikap Dr Mahathir itu tidak menghairankan kerana perebutan kuasa dan pengaruh antara Ahli Parlimen Langkawi itu dan Anwar telah berlarutan dan menjadi latar utama politik Malaysia sejak 1990-an lagi.

Namun, kedua-dua seteru lama itu bersedia mengetepikan perselisihan faham ketika PH sedang dibentuk.

Anwar yang ketika itu sedang dipenjarakan bersetuju untuk menyerahkan jawatan ketua kepada Dr Mahathir apabila Bersatu menyertai PH.

Sebagai balasan, Dr Mahathir bersetuju Anwar akan diampunkan sekiranya PH beroleh kuasa dan beliau mengotakan janji ini dalam masa seminggu selepas PH mengambil alih kerajaan.

PH juga berjanji bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir namun tempoh peralihan tidak pernah ditetapkan secara bertulis.

Ramai pihak dalam PH, khususnya penyokong-penyokong Anwar, menegaskan bahawa mereka mahu peralihan kuasa berlaku pada Mei 2020 iaitu dua tahun selepas PRU-14.

Tempoh itu ditetapkan oleh Dr Mahathir sendiri seperti yang pernah dinyatakan beliau dalam wawancara bersama akhbar Jepun, Mainichi Shimbun yang disiarkan pada 3 Februari 2018 di mana beliau dipetik sebagai berkata: "Saya tidak boleh kekal berkuasa untuk tempoh yang lama. Paling lama pun, saya boleh bertahan selama dua tahun."

Laporan yang sama menyebut, "Mahathir mendedahkan bahawa beliau mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas dibebaskan dari penjara."

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir mengubah fikiran dan menyatakan beliau hanya akan meletak jawatan selepas Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi APEC yang dijadualkan pada November 2020.

Beliau juga mengubah janjinya untuk menyerahkan terus jawatan itu kepada Anwar dengan menyatakan bahawa Perdana Menteri yang berikutnya ialah sesiapa yang mampu meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan Dr Mahathir sekitar Mac atau April 2019, telah dipersetujui bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin diberi tugasan memulakan perbincangan antara Bersatu, UMNO dan PAS tentang kemungkinan ketiga-tiga parti bekerjasama.

Dalam mesyuarat lain pada Julai 2019, Dr Mahathir meminta satu kongres kebangsaan dianjurkan supaya beliau dapat menunjukkan kemampuannya menyatupadukan orang Melayu.

Penyokong PH Kini Membenci Tun Mahathir, Anwar & Syed Saddiq

Sekali lagi, Hamzah diminta untuk menyelaraskan inisiatif tersebut dan Kongres Maruah Melayu dianjurkan pada 6 Oktober 2019.

Dr Mahathir menyampaikan ucaptama dan selepas itu beliau berdiri di atas pentas dengan diapit oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, sebagai simbolik penyatuan tiga parti Melayu terbesar di bawah kepimpinannya.

Namun, Anwar tidak dijemput kecuali pada saat-saat akhir dan beliau tidak menghadiri kongres tersebut.

Penyokong-penyokong Anwar terus mendesak Dr Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa dan isu ini dibangkitkan dan dibincangkan selama berminggu-minggu termasuk oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang pro-Anwar seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Penyokong-penyokong tegar Anwar yang lain tergamak mengugut untuk menganjurkan perhimpunan jalanan bagi menegaskan desakan mereka, sambil mendakwa Dr Mahathir tidak boleh dipercayai dan beliau mahu berkuasa selama-lamanya.

Pada masa yang sama, Anwar seolah-olah tidak melakukan apa-apa pun untuk menghalang penyokong-penyokongnya.

Ketegangan antara Dr Mahathir dan Anwar merupakan gangguan yang besar dalam pentadbiran PH lebih-lebih lagi kepada Dr Mahathir kerana beliau akan dihujani dengan soalan tentang peralihan kuasa setiap kali bertemu media.

Isu itu turut mengalihkan perhatian rakyat daripada pelbagai perubahan dan inisiatif yang dilaksanakan pentadbiran PH.

Sikap 'pasif agresif' yang ditunjukkan oleh Anwar iaitu dengan memperlihatkan kepada orang ramai bahawa beliau tidak mendesak peralihan kuasa segera namun pada masa yang sama, tidak menghalang penyokong-penyokongnya daripada membuat desakan secara lantang telah melemahkan pentadbiran PH dan memperkuatkan lagi tanggapan bahawa PH berpecah-belah.

Tidak mustahil gergasi tumbang

Catat Ulasan

0 Ulasan