Wan Fayhsal jangan biadap provokasi PM

Gambar: Facebook Wan Ahmad Fayhsal

UMNO Bahagian Sungai Petani menyelar kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menggesa jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang akan dikosongkan Datuk Zuraida Kamaruddin diserahkan kepada Bersatu.

Ketuanya, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, kenyataan tersebut adalah sangat tidak wajar kerana lantikan ahli kabinet adalah merupakan hak mutlak Perdana Menteri.

“Kenyataan (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) tersebut adalah sangat tidak wajar kerana bersifat provokasi, biarlah PM yang tentukan siapa yang beliau nak lantik sebagai Jemaah Menteri.

“Perlantikan jawatan ahli Kabinet adalah merupakan kuasa prerogatif dan hak mutlak seorang Perdana Menteri, orang lain tak perlu nak sibuk atau desak kerana ia sangat tidak manis,” katanya.

Shahanim berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Sungai Petani petang tadi.

Majlis yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Sungai Petani itu turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Pengerusi MARA Corp, Senator Datuk Othman Aziz.

Terdahulu majlis tersebut dibanjiri sekitar 10,000 warga sekitar Sungai Petani ekoran kelonggaran SOP yang diumumkan kerajaan awal bulan lalu.

Seterusnya ketika ditanya tentang persiapan pilihanraya umum, Shahanim menjelaskan jentera UMNO Sungai Petani telah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Insya-Allah kami di Sungai Petani sentiasa bersedia dalam menghadapi pilihanraya umum sekiranya kerajaan bertindak membubarkan Parlimen.

“Terserah pada pucuk pimpinan parti bila nak adakan PRU, apa yang pasti UMNO Sungai Petani akan memastikan kerusi parlimen ini dapat dirampas semula sekaligus nasib rakyat di Sungai Petani terus terbela,” jelasnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan