Rasis: Persepsi atau realiti?

 



ADA satu kisah seorang penguatkuasa berbangsa Melayu yang hendak mengeluarkan saman kepada seorang peniaga Cina tetapi ditempelak oleh peniaga itu. Dia berkata, ‘Encik hendak saman saya sebab saya Cina’. Penguatkuasa itu serba salah dan akhirnya melepaskan peniaga tersebut.

Di dalam satu kisah yang lain, seorang lagi penguatkuasa berbangsa Melayu mahu mengeluarkan saman kepada seorang peniaga Melayu tetapi peniaga tersebut merayu. Beliau berkata, ‘Abang, Melayu sama Melayu tidak boleh tolong ke?’ Seperti kes pertama, penguatkuasa itu juga serba salah dan tidak meneruskan hasrat beliau.

Sama ada dua kes itu adalah kisah benar atau tidak, tidak penting kerana ia adalah dua contoh di mana faktor kaum boleh digunakan untuk mempengaruhi tindakan. Penguatkuasaan gagal dilaksanakan apabila sentimen kaum dimainkan. Kesalahan yang dilakukan oleh peniaga-peniaga tersebut mungkin kecil dan implikasi kepada orang ramai tidak akan mengancam nyawa namun ia boleh berlaku pada skala yang lebih besar dan lebih serius.

Mungkin bagi mereka yang duduk di hadapan komputer atau sedang melayari telefon pintar akan menyalahkan penguatkuasa-penguatkuasa tersebut. Mungkin juga ada yang menyalahkan peniaga-peniaga itu kerana melakukan provokasi. Walaupun kedua-dua mereka mungkin bersalah namun suasana masyarakat kita hari ini juga turut menyumbang kepada kejadian itu. Ramai dari kita yang terlampau obses dengan faktor kaum walaupun ia sekadar statistik yang didedahkan.

Ketika saya berada di dalam Kerajaan Negeri Selangor dahulu, terdapat satu kes di mana faktor kaum tidak semena-mena dibangkitkan dan akhirnya menjadi isu politik. Ketika Pakatan Rakyat mula-mula mengambil alih kerajaan negeri, Menteri Besar perlu melantik seorang pengurus besar untuk menerajui sebuah syarikat kerajaan negeri kerana pengurus besar sebelum itu telah bersara. Menteri Besar telah buat pertama kali dalam sejarah melantik seorang bukan-Melayu. Akibatnya berlaku bantahan daripada pelbagai pihak. 

Tidak dapat dinafikan faktor kaum menjadi asas kepada sesetengah bantahan tetapi bukan kesemuanya. Ada yang membantah kerana individu itu adalah dari era kerajaan negeri yang sebelumnya dan adalah satu keperluan untuk memutuskan hubungan dengan yang lama. Malang sekali terdapat mereka yang menjaja seolah-olah bantahan yang dilakukan adalah bersifat perkauman semata-mata. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana sentimen perkauman menguasai masyarakat dan walaupun hujah yang logik dapat dikemukakan namun sentimen tersebut masih mendapat perhatian. 

Ini adalah realiti di negara kita yang berbilang kaum. Inggeris bersetuju melepaskan negara kita dari cengkaman mereka jika wujud kerjasama di antara kaum-kaum. Kita bukan Algeria di mana apabila penjajah Perancis dihalau keluar menerusi peperangan yang ganas, mereka yang dibawa masuk ketika penjajahan telah meninggalkan negara itu. Kita bukan juga Mozambique di mana mereka yang dibawa masuk oleh penjajah Portugis turut pulang ke negara asal setelah perang liberasi berakhir. Kita bukan juga Zimbabwe atau Afrika Selatan di mana kaum pribumi merampas semula hak mereka setelah beratus tahun ditindas oleh rejim apartheid kulit putih melalui kekerasan dan kadang-kala muncung senapang. Suka atau tidak kita perlu hidup bersama.

Amat merugikan jika terdapat mereka yang begitu senang melemparkan tuduhan rasis. Kita akan takut untuk menyatakan yang benar kerana bimbang dilabel sebagai rasis walaupun statistik begitu jelas dan nyata. Kita tidak akan berani membincangkan masalah sebenar tetapi akan berada di awang-awangan bagaikan kapal terbang yang berlegar-legar di udara tanpa tujuan. Akhirnya kita tidak akan berupaya menyelesaikan masalah kerana kita tidak berani berhadapan dengan kenyataan dan segala masalah disapu ke bawah permaidani.

Perlu ada mereka yang berani menyatakan kebenaran walaupun apa sahaja label yang dilemparkan. Jangan menjadi seperti penguatkuasa-penguatkuasa yang tidak berani mengambil tindakan kerana dipengaruhi oleh sentimen kaum. Yang salah perlu dihukum walau apa implikasinya. Yang layak perlu dilantik walau ada yang tidak berpuas hati. Yang gagal perlu diketepikan walaupun ramai penyokongnya. Kadang-kala rasisme hanya wujud kerana ada yang mengambil kesempatan. Hanya persepsi bukan realiti.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD

Ketua Penyelaras

Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (FIKIR)

Catat Ulasan

0 Ulasan