Perpecahan di kalangan orang Melayu dalam satu atau dua dekad yang lalu banyak menjelaskan ketidakmampuan Melayu bertindak bersama-sama untuk penambahbaikan masa depan mereka.
Pada masa lepas, apabila orang Melayu berjaya menumpaskan apa yang kelihatan kepada orang luar, malahan mungkin kepada diri mereka sendiri, sebagai komplot kecil-kecilan, prasangka dan pertelingkahan, mereka berjaya memfokus tenaga mereka kepada isu-isu yang lebih besar dan memperjuangkan nasib politik dan ekonomi mereka.
Tetapi perpecahan di kalangan orang Melayu adalah 'adat' sejarah dari zaman Hang Tuah lagi hinggalah sekarang.
Ia sesuatu yang mereka cemerlang tanpa perlu berusaha walau sedikit pun.
la lahir dari naluri mereka, disempurnakan oleh sejarah amalan.
Kadangkala mereka menyedari tentang betapa pergaduhan kecil boleh menyebabkan mereka kehilangan ganjaran yang lebih besar.
Melalui pengalaman dahulu mereka sedar, misalnya, bahawa tatkala mereka bergaduh dan bunuh-membunuh sesama sendiri tentang siapa yang sepatutnya mendapat hak memungut tol ke atas sampan yang berlaluan di muara Sungai Perak, pihak penjajah tanpa mereka sedari merampas bulat-bulat lombong timah Kinta, yang terkenal sebagai salah satu lombong timah yang terkaya di dunia.
Hari ini nilai perebutan adalah lebih tinggi kerana ekonomi kian bertambah kaya dengan pembangunan dan pengantarabangsaan; nilainya berkali-kali ganda lombong-lombong timah di Kinta.
Mengambil kira keadaan terkini, khasnya dengan terkuburnya UMNO asal, sejarah pergaduhan di kalangan orang Melayu kini berulang lagi.
Sambil mereka menghunus keris sesama sendiri masing-masing menegakkan dirinya dengan menunjukkan yang dia lebih alim daripada saudara-maranya di seberang sana, mereka sedang menafikan takdir mereka yang sama.
Amalan penjajah yang menggalakkan keremehan dan pecah di kalangan orang Melayu dengan membahagi-bahagikan mereka dan dengan mengalihkan perhatian mereka ke arah lain, yang nampak lebih penting tetapi melibatkan perkara-perkara yang tidak relevan.
Bukan secara kebetulan mereka menggalakkan peribumi meningkatkan minat kepada agama sebagai instrumen untuk mengalihkan tenaga mereka daripada urusan ekonomi dan menyediakan asas falsafah supaya mereka boleh menerima status kemiskinan dan ketaksamaan.
Kini peranan ini telah diambil alih oleh para ulama dan mullah PAS/ABIM, malahan oleh sesetengah ahli UMNO sendiri.
Sememangnya orang Melayu yang mudah terpedaya menerima status kemiskinan dan ketaksamaan mereka sebagai takdir Tuhan dan percaya bahawa memperbaiki nasib sendiri adalah dilarang oleh ajaran Islam, terutama, jika ia dilihat sebagai meniru kehidupan Barat yang merosot akhlak dan sekular.
Akibatnya, orang Melayu dilemahkan dari segi politik dan ekonomi.
Apabila, buat pertama kali semenjak zaman Hang Tuah, orang Melayu mampu bersatu dalam satu negara di bawah panji-panji UMNO, yang dipimpin oleh Dato' Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lain, mereka melakukan sesuatu yang menakjubkan bagi pihak mereka sendiri.
Mereka berjaya menyingkirkan penjajah mereka dan mencapai kemerdekaan.
Mereka meletakkan diri mereka dalam kedudukan yang membolehkan mereka mengurus dan menentukan arah tuju ekonomi mereka sendiri dengan lebih baik.
Mereka tidak boleh lagi menyalahkan penjajah sebagai dalang di sebalik kegagalan mereka.
Hari ini, setelah lebih tiga puluh tahun berlalu, dominasi penjajah tidak boleh lagi dijadikan sebab penghalang secara langsung dan secara terbuka.
Jatuh bangun orang Melayu sekarang adalah pada tangan mereka sendiri.
(Dipetik daripada buku Dasar Ekonomi Baru: Pertumbuhan Negara dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu, tulisan Just Faaland, Jack Parkinson & Rais Saniman)
0 Ulasan