DAP : MASIH LEMAS DALAM ISLAMOPHOBIA ?
Sekali Serban Dililit. 186
15 Rabiul Akhir 1445 | 30 Okt 2023
Oleh : Nasrudin bin Hassan
https://m.facebook.com/serbandililit
1. Saya lihat DAP dan sebahagian pemimpinnya masih gagal memahami erti solidariti bersama Palestin atau pun mungkin sengaja bersikap acuh tidak acuh bersolidariti dengan umat Islam Palestin yang sedang dizalimi oleh Yahudi durjana.
2. Saat umat Islam dan seluruh masyarakat dunia tanpa mengira latar belakang agama dan peringkat umur bangkit mengecam kekejaman Israel, DAP dan sebahagian pemimpin mereka tampil mengecam program solidariti Palestin yang dianjurkan pada peringkat sekolah.
3. Kononnya usia kanak-kanak tidak sesuai didedahkan soal peperangan, keganasan dan lainnya. Mereka turut kepanasan melihat aksi pentomen kanak-kanak sekolah yang memegang senjata mainan sebagai satu gimik kebersamaan mereka dengan umat Islam di Palestin.
4. Mereka mempersoalkan moment penggunaan senjata mainan dikalangan kanak-kanak. Persoalannya, kenapa mereka tetiba takut pada senjata mainan kanak-kanak ? Sedang senjata mainan itu berlambak dipasaran dan laris dibeli oleh ibubapa untuk mainan anak-anak mereka sepanjang masa.
5. Atau sebenarnya mereka takut kanak-kanak itu menghayati perjuangan umat Islam di Palestin ? Atau mereka bimbang kanak-kanak itu memahami erti kekejaman zionis yang telah membunuh entah ratusan ribu kanak-kanak yang sebaya dan seusia mereka sejak penjajahan Israel ke atas bumi Palestin.
6. Kecaman DAP terhadap aktiviti Minggu Palestin di sekolah sangat dangkal dan gagal menghayati erti solidariti terhadap penderitaan yang sedang dialami oleh umat Islam di Palestin.
7. Satu masa mereka dakwa mereka juga mengecam Israel. Akhirnya mereka seperti menunjukkan warna sebenar wajah dan sikap mereka terhadap isu Palestin apabila menidakkan aksi solidariti anak-anak sekolah. Sikap DAP yang sebeginilah, selalu disebut oleh orang-orang tua sebagai _“mulut manis punggung masam”_
8. Sekadar kanak-kanak sekolah mengangkat senjata mainan kanak-kanak pun, sebahagian pemimpin DAP sudah gelabah, maka jelaslah sikap sebenar mereka terhadap Palestin yang menjadi isu besar masyarakat dunia hari ini.
9. Kini saya tidak percaya kebersamaan DAP dengan penderitaan umat Islam di Palestin, sebagaimana saya juga sukar untuk percaya bahawa DAP menolak pengiktirafan Israel serta penjajahan Israel ke atas Palestin.
10. Minggu Palestin di sekolah bermaksud menanam kesedaran dan mendidik mereka agar faham erti keganasan dan kekejaman Israel yang menggunakan senjata dan lainnya ke atas umat Islam di Palestin termasuk kanak-kanak seusia mereka.
11. Senjata mainan yang diguna dalam sebahagian aksi pentomen kanak-kanak sekolah itu adalah satu moment didikan positif bagi menggambarkan senjata-senjata itu, telah disalah guna untuk membunuh insan tidak berdosa seperti kanak-kanak dan ia adalah satu kekejaman yang mesti dibenci, ditolak dan dibasmi.
12. Jika aksi pegang senjata mainan oleh pelakon watak pejuang-pejuang Islam Palestin dalam pentomen itu dianggap elemen ganas atau keganasan, maka sekali lagi DAP sepenuhnya gagal memahami erti perjuangan membebaskan bumi Palestin dari penjajahan dan keganasan Israel.
13. Sepertinya mereka senada dengan Amerika dalam menyenaraikan pejuang-pejuang Palestin yang mahu pertahankan nyawa, maruah, keluarga serta tanahair mereka sebagai pengganas.
Apakah selepas ini DAP akan mengharamkan senjata plastik mainan kanak-kanak yang berlambak di pasaran sejak puluhan tahun ?
Sekian.
0 Ulasan