Gambar: Facebook Mahathir Mohamad |
MEMPERALAT LHDN
1. Saya merasa agak hairan bagaimana Puad Zarkashi, seorang Speaker Dewan Undangan Negeri Johor boleh tuduh saya peralat LHDN di dalam kes Datuk Najib (dan anaknya) disaman kerana tidak bayar cukai berjumlah RM1.7 billion.
2. Pertamanya, apakah Puad tidak faham proses perundangan. Dalam apa-apa juga kes melibatkan Kerajaan, ia perlu mendapat persetujuan pihak Peguam Negara sebelum dibawa ke mahkamah.
4. Keduanya, apabila ia dibawa ke mahkamah, Hakim pula akan membuat penilaian berdasar kepada bukti-bukti yang dipamer dan saksi-saksi yang dipanggil.
5. Jika tiada saksi-saksi dan bukti-bukti yang sahih dan kukuh maka Hakim dan Mahkamah akan membuang kes tersebut.
6. Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan pada hari Isnin menolak rayuan Najib dan anaknya untuk membatalkan kes cukai mereka. Panel lima hakim telah sebulat suara menolak rayuan mereka membatal kes saman cukai LHDN berjumlah RM1.7 billion tersebut.
7. Jika LHDN telah diperalat oleh saya kenapa peguambela Najib tidak tunjuk bukti di mahkamah di hadapan hakim-hakim tersebut.
8. Apakah Puad Zarkashi menganggap hakim-hakim tersebut tidak tahu menilai bukti-bukti dan saksi-saksi yang di pamer di mahkamah?
9. Selain itu, jika Puad Zarkashi ada bukti bahawa LHDN telah diperalat oleh saya, kenapa dia tidak beri bukti itu kepada peguambela Najib dan menawar diri sebagai saksi pembelaan.
10. Tetapi ini tidak dilakukan olehnya. Sebaliknya, dia cuma “meroyan” di luar mahkamah dan membiar Najib menghadapi saman dan kalah.
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
17 Oktober 2023
0 Ulasan