Annuar Musa tak layak digelar Panglima Kelantan - Puad


Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara sinis mencadangkan supaya Pengerusi MN, Tan Sri Annuar Musa digelar sebagai Hang Jebat.

Beliau berkata, semasa berkempen untuk PRK DUN Galas di Meranto, Annuar mengangkat dirinya sebagai panglima UMNO Kelantan setelah 37 tahun menjadi ketua bahagian dan 28 tahun sebagai Ahli MKT.

"Panglima tidak akan lari apatah lagi tikam parti dari belakang. 

"Sepatutnya Nik Abduh (Nik Abdul Aziz) masukkan Annuar dalam senarai Hang Jebat setaraf Jailani (Datuk Muhammad Jailani Khamis," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd Puad menambah, Annuar memuji dirinya dalam mengusahakan projek pembinaan jalan di Gua Musang.

Walhal, kata beliau, Annuar diselubungi banyak kontroversi seperti digantung oleh FAM selama 30 bulan dan digantung tugas sebagai Pengerusi MARA serta berdepan isu PPRT di Kelantan.

"Dia putar belit isu MN. Patut dia tanya PAS kenapa main dua lawang. Kenapa sertai PN?

"Kalau soal ummah kenapa jemput Bersatu tapi halang Amanah (PAN) sertai MN?" soalnya.

Mohd Puad berkata, Annuar juga cuba menunjukkan dirinya sebagai hero dalam isu ICERD dan Statut Rom.

"Kenapa tidak belasah (Datuk Seri) Saifudin Abdullah yang ada di atas pentas ketika itu. 

"Dialah menteri yang mahu ICERD dan Statut Rom diratifikasi," jelasnya.

Beliau menambah, Annuar juga memainkan isu tanah Kesedar sedangkan agensi tersebut berada di bawahnya ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dahulu.

"Jawablah isu dibangkitkan oleh ADUN Galas?" soalnya lagi.

Mohd Puad turut mempersoalkan mengapa syarikat yang baru didaftarkan kurang setahun diberi projek ladang hutan di Hutan Simpan Kekal Perias Hulu Nenggiri Mukim Bertam seluas 202 hektar.

"Sedangkan rakyat Nenggiri masih tidak dapat geran tanah berpuluh tahun? Itu kuasa kerajaan negeri," katanya.



Catat Ulasan

0 Ulasan