DAP kesal dilabel kafir harbi

DAP kesal dengan tindakan seorang individu yang melabelkan parti itu sebagai kafir harbi dalam ceramah anjuran PAS dan PN sempena kempen PRK DUN Nenggiri.

Ahli-ahli CEC DAP, Sheikh Omar Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman berkata, dalam ceramah tersebut, seorang individu yang dipercayai mempengerusikan majlis telah mengeluarkan kenyataan bahawa DAP adalah 'kafir harbi di Malaysia'.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan ini. 

"DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan mempunyai keanggotaan daripada pelbagai kaum. 

"Ini termasuk anggota parti yang beragama Islam," kata mereka dalam kenyataan media, hari ini.

Mereka merujuk kepada kenyataan dalam rakaman video yang tular yang memaparkan majlis ceramah tersebut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Mereka berkata, istilah ‘kafir harbi’ merupakan istilah fiqah klasik yang muncul dalam konteks zaman wujudnya ancaman perang dan bunuh dari negara orang kafir (darul harb) ke atas negara umat Islam (darul Islam). 

Menurut mereka, golongan kafir itu diklasifikasikan sebagai 'kafir harbi' dan halal darahnya untuk diperangi demi mempertahankan kedaulatan diri dan tanah air umat Islam.

"Justeru, kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah PAS di Nenggiri itu adalah sesuatu perbuatan takfiri terhadap ahli-ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima.

"Kami dengan ini menuntut supaya individu dalam rakaman video tersebut meminta maaf terhadap semua ahli parti DAP yang beragama Islam yang telah dihukum sebagai kafir oleh beliau," kata mereka.

Pada masa yang sama, ketiga-tiga pemimpin DAP itu menuntut supaya kepimpinan PAS dan PN supaya menyatakan pendirian mereka sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau individu tersebut. 

"Sekiranya tidak, PAS dan PN turut digesa untuk mengecam kenyataan tersebut," kata mereka.

Mereka juga menggesa supaya PN berkempen dengan matang dan sejahtera, dan bukannya memainkan politik kebencian.



Catat Ulasan

0 Ulasan