Angkatan Muda Harapan gesa tindakan tegas individu label DAP kafir harbi


Angkatan Muda Harapan menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu yang melabelkan DAP sebagai kafir harbi dalam ceramah anjuran PAS dan PN sempena kempen PRK DUN Nenggiri.

Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap individu tersebut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan. 

Menurut beliau, laporan polis akan dibuat pada pukul 2 petang esok di IPD Gua Musang dan pada pada pukul 1 tengah hari lusa di IPD Dang Wangi. 

"Saya juga menyeru seluruh pimpinan anak muda pelbagai parti dan organisasi untuk turut sama mengecam kenyataan ini dan membuat laporan polis.

"Tindakan undang-undang ini adalah untuk memastikan bahawa politik kebencian tidak dibiarkan berleluasa dan bahawa semua pihak mempertahankan perpaduan dan keharmonian negara dalam berpolitik," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Naib Ketua Pemuda Amanah itu merujuk kepada kenyataan dalam rakaman video tular yang memaparkan majlis ceramah tersebut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau menambah, kenyataan politik kafir mengkafir itu bukan sahaja merosakkan perpaduan tetapi juga mengancam keharmonian negara yang dibina atas dasar toleransi dan hormat-menghormati.

Ammar berkata, Angkatan Muda Harapan dengan tegas menolak politik kafir mengkafir yang memperalat agama untuk meraih sokongan politik perpecahan. 

"Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya.

"Firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, mengingatkan kita agar tidak menghina atau merendahkan orang lain, apatah lagi mengkafirkan sesama Muslim," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua anak muda di negara ini untuk bangkit menolak politik ekstrem yang hanya membawa perpecahan. 

"Anak muda mesti menjadi benteng utama dalam mempertahankan perpaduan negara," katanya.

Ammar turut mendesak kepimpinan PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk segera menyatakan pendirian mereka dengan jelas. 

"Jika mereka tidak bersetuju dengan kenyataan ini, mereka perlu mengecamnya secara terbuka demi menjaga keharmonian negara," ujarnya.





Catat Ulasan

0 Ulasan