Semua kementerian patut berlumba keluar kenyataan umum projek di Nenggiri, sindir Fadhli

 


Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis mencadangkan kepada kementerian-kementerian supaya segera berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung projek masing-masing di Nenggiri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas membuat sindiran itu berikutan kenyataan Kementerian Kewangan hari ini berhubung kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) di Nenggiri.

"Antara yang boleh dicadangkan: Kementerian Air bakal wujudkan tambahan kepala paip di masjid dan madrasah.

"Kementerian Luar Bandar bakal wujudkan beberapa unit tandas di pusat-pusat komuniti.

"Kementerian Sukan bakal bekalkan beberapa biji bola takraw kepada anak-anak muda.

"Dan banyak lagi. Cepat sebelum 17 Ogos ini! Semuanya wajib dimaktubkan dalam kenyataan rasmi. Apa nak buat, itulah tahap kerajaan yang ada," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan menyatakan ia mengambil maklum laporan yang diterima berkenaan kesukaran penduduk DUN Nenggiri untuk mendapatkan akses ATM dan perlu ke Gua Musang yang terletak sejauh 50 kilometer dari kawasan mereka.

Kementerian Kewangan telah selesai mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan ATM di DUN Nenggiri dan ia mendapat respon positif.

Menurut kementerian itu, pengaktifan perkhidmatan ATM akan disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat dan usaha tersebut akan diperluas bagi memastikan semua rakyat dapat menerima kemudahan asas itu.

"Kementerian Kewangan juga akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenalp asti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan terutama dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ini dapat diperluaskan.

"Orang ramai yang menghadapi kesukaran seumpama ini di kawasan mereka boleh menghubungi Kementerian Kewangan melalui ukk@treasury.gov.my atau talian 03-8000 8000," jelasnya.





Catat Ulasan

0 Ulasan