Laporan media Datuk Perba Abdul Razak dipecat tidak benar

 


Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau menafikan laporan beberapa akhbar tempatan berkenaan pemecatan Datuk Perba Abdul Razak Mohd Yassin selaku Datuk Perba merangkap Datuk Lembaga Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pesaka Undang Luak Rembau ke-22.

Datuk Lembaga Kanan Tiang Balai Baruh, Datuk Merbangsa Azmi Ahmad menegaskan bahawa kandungan berita yang disiarkan adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab serta disiarkan tanpa merujuk kepada Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau.

Menurut beliau, Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dan mengeluarkan sebarang perintah pemecatan terhadap Abdul Razak. 

"Kandungan berita tersebut adalah tidak benar dan telah mencemarkan Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau. 

"Gelaran Datuk Perba adalah dimasyhurkan dan pelantikannya adalah hanya boleh dibuat oleh Undang Luak Rembau mengikut adatnya termasuklah pemecatannya. Hidup Mati Seorang Lembaga Tergantung kepada Bidang Kuasa Undang. 

"Oleh yang demikian sebarang keputusan memecat gelaran Datuk Perba oleh mana-mana individu dan atau kumpulan selain daripada sabda Undang Luak Rembau dan Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau adalah bertentangan dengan undang-undang adat, di luar kuasa dan tidak sah," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Azmi menambah, Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau juga menasihatkan bahawa sebarang maklumat rasmi berkaitan urusan Pemasyhuran Pesaka Undang Luak Rembau ke-22 hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada institusi berkenaan sebelum disiarkan untuk hebahan umum. 

Beliau memberitahu, sebarang tindakan membelakangkan Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau adalah satu tindakan sembrono dan tidak bertanggungjawab yang mana tindakan itu boleh mengelirukan orang ramai.

"Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau juga mengecam mana-mana tindakan secara langsung atau tidak langsung yang boleh mengganggu-gugat proses Pemasyhuran Pesaka Undang Luak Rembau ke-22 yang telah, sedang dan akan dijalankan mengikut adat dan aturan yang termaktub," jelasnya.

Terdahulu, Buapak Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak Rembau, Datuk Samaraja Dzulkefli Ismail melalui kenyataan memaklumkan gelaran pesaka adat Abdul Razak sebagai Dato' Perba Lembaga Biduanda Waris Nan Dua Carak Rembau dilucutkan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, keputusan dibuat Ibu Soko Waris Biduanda Delapan Kampung Nan Dua Carak pada Rabu lalu mengambil kira pelbagai salah laku aturan adat dilakukan Dato' Perba berikutan kemelut dalam pencarian bakal Undang Rembau ke-22.

Tambahnya lagi, pelucutan turut diperkukuhkan dengan sokongan Dato'-Dato' Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak.







Catat Ulasan

0 Ulasan