BN kembali kuat, PAS cabar kerajaan isytihar kosong 6 kerusi lompat

 


PAS mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen yang disandang oleh bekas-bekas ahli Bersatu.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, langkah itu perlu diambil berikutan kemenangan BN pada PRK DUN Nenggiri semalam.

Beliau secara sinis menyatakan, BN sudah kembali kuat dan sokongan rakyat di Nenggiri kembali kepada BN.

"Sudah tentu kerajaan tidak ragu-ragu lagi untuk mengisytiharkan kekosongan enam kerusi lompat di mana BN yang akan bertanding. 

"Itu pun jika mereka yakin bahawa mereka sudah kembali kuat," katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan meraih 9,091 undi manakala calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail memperoleh 5,739 undi.

Enam kerusi Parlimen terbabit disandang oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Julai lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyatakan tidak berlaku kekosongan melibatkan enam kerusi Parlimen yang disandang oleh enam bekas Ahli Parlimen dari Bersatu itu.

Ahmad Fadhli turut mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan pada PRK DUN Nenggiri.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua jentera PN yang datang dari seluruh negara.

"Semoga dipermudahkan segala urusan untuk kembali ke lokasi masing-masing. 

"Jadikan pengalaman sepanjang kempen PRK ini sebagai ‘latihan’ untuk menghadapi pilihan raya selepas ini," katanya.


Jiwa Merdeka





Catat Ulasan

0 Ulasan