PRK DUN Mahkota: Pemuda UMNO Johor hargai PH beri laluan kepada BN

 



Pemuda UMNO Johor mengalu-alukan serta menghargai pendirian rasmi Pakatan Harapan (PH) untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam PRK DUN Mahkota bulan depan.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, pendirian rasmi PH dalam hal itu adalah cerminan kepada kesungguhan serta komitmen PH untuk terus menyuburkan semangat perpaduan di Johor secara bermuafakat.

Sehubungan itu, menurut beliau, Pemuda UMNO Johor menyeru agar semua pimpinan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan khususnya di Johor, untuk fokus memenangkan PRK di DUN Mahkota, dengan mengulangi kejayaan manis memenangkan calon-calon perpaduan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 2023.

"Fokus dan tumpuan seluruh jentera parti kerajaan adalah untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai segala usaha yang pimpinan kerajaan sedang ambil untuk memberi kehidupan yang lebih baik buat seluruh rakyat, baik usaha di peringkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

"Agenda memecah belah perpaduan rakyat yang dibawa Perikatan Nasional (PN) harus sama-sama ditolak dan tidak sesekali dibiarkan bertapak di negeri Johor," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan berkata, PH tidak akan bertanding pada PRK DUN Mahkota yang disandang oleh BN.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Walau bagaimanapun, Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain menyifatkan kenyataan Saifuddin itu sangat meragukan.

Beliau mendakwa, ia adalah usaha pihak berkepentingan yang cuba menyekat tuntutan Amanah Kluang terhadap kerusi tersebut. 


Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan