Kenyataan media Saifuddin sangat meragukan - Amanah Kluang

 


Amanah Kluang menyifatkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung PRK DUN Mahkota sangat meragukan.

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, tidak mungkin minggu lepas bermesyuarat baru hari ini keluar kenyataaan media. 

"Jika begitu sangat lemah Setiausaha Agung PH. Dua hari lepas pun beliau ada keluarkan kenyataan tapi masih bayangan. 

"Amanah Kluang yang menuntut kerusi ini sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Setahu kami tiada mesyuarat PH minggu lepas. Jika nak buat kenyataan media palsu pun agak-agaklah," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, Saifuddin berkata, PH tidak akan bertanding pada PRK DUN Mahkota yang disandang oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Mohd Zuhan yakin ia adalah usaha pihak berkepentingan yang cuba menyekat tuntutan Amanah Kluang terhadap kerusi tersebut. 

Walau bagaimanapun, beliau tidak menuduh mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan media itu.

"Sehingga saat ini Amanah Kluang tetap dengan pendirian bahawa kami bersedia untuk bertanding di DUN Mahkota.

"Malam ini akan ada mesyuarat PH Johor dan esok akan diadakan mesyuarat Khas Biro Politik Amanah Johor yang akan dipengerusikan oleh YB Aminolhuda Hassan. Saya akan bersama-sama dalam mesyuarat tersebut.

"Insya Allah selepas itu Amanah Kluang akan buat pengumuman samada kami TAAT Atau INGKAR. Diharap semua bersabar," jelasnya.


Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan