PH tak bertanding PRK DUN Mahkota - Saifuddin

 


Pakatan Harapan (PH) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang disandang oleh Barisan Nasional (BN).

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

"Adalah juga dipersetujui bahawa PH bersetuju calon BN akan bertanding sebagai menghormati kerusi penyandang sepertimana BN berbuat serupa ketika PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada September 2023 tempoh hari.

"PH akan turun memberi sokongan dan dukungan sepenuhnya kerana mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah "menjadi keutamaan dalam semangat Kerajaan Perpaduan hari ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 5 Ogos lalu, Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain mendesak supaya calon partinya diberi peluang mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Mahkota nanti.

Sudah tentu permintaan beliau itu dibantah oleh pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose yang menyifatkan permintaan Amanah Kluang itu sebagai tamak.

Pertikaman lidah secara terbuka seterusnya tercetus sehingga kini antara pemimpin-pemimpin Amanah dan UMNO Johor.

Amanah mengungkit tentang kuota Exco kerajaan negeri Johor dan jawatan ketua kampung manakala UMNO mengingatkan bahawa parti itu telah membantu kemenangan PH pada PRK Parlimen Simpang Renggam dan DUN Pulai.


Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan