Musuh Islam berjaya ambil alih kuasa politik negara - Abdul Hadi

 


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, musuh Islam berjaya mengambil alih kuasa politik negara dengan mudah tanpa menggunakan senjata seperti zaman dahulu. 

Menurut beliau, keadaan itu berlaku apabila umat Islam tidak keluar mengundi, sedangkan masyarakat bukan Islam semuanya keluar mengundi bagi merampas kuasa politik.

"Umat Islam hendaklah sedar betapa pentingnya politik dalam Islam, sehingga Rasulullah SAW menangguhkan ibadat umrah dan haji kerana menunggu kemenangan politik hasil daripada Perjanjian Hudaibiyyah dan Fathu Makkah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi memberitahu, Allah SWT menetapkan bahawa politik adalah salah satu daripada tiga tujuan manusia diciptakan; ibadah, khilafah dan amanah. 

Beliau berkata, khilafah itu ialah siasah yang bermakna politik, tugas yang diwajibkan kepada manusia yang menjadi hamba Allah (ibadat). 

"Bercirikan masyarakat yang mentadbir urusan kehidupan duniawi yang menjadi jambatan ke akhirat, sama ada menuju ke syurga ataupun ke neraka. 

"Maka, para anbiya’ AS dipilih membawa petunjuk daripada Allah kepada manusia," jelasnya.

Tiba-tiba, katanya, tugas yang mulia itu dianggap kotor oleh manusia yang sengaja mengotorkannya. 

"Mereka meninggalkan petunjuk Allah dan mengikut hawa nafsu kesyaitanan yang menolak tugas manusia kerana kesombongannya," katanya.


Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan