Isu komik Superman Hew boleh sabotaj UMNO di Nenggiri



Isu pembatalan pengharaman 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' yang diterbitkan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau @ Superman Hew memang sangat tidak kena pada masanya.

Ia timbul tatkala UMNO sedang berhempas-pulas dalam kempen untuk menawan semula DUN Negeri pada PRK esok.

Memang patut pun Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh bersuara.

Kedua-dua mereka tidak mempertikaikan keputusan mahkamah yang membawa kepada penarikan semula larangan terhadap komik yang dikatakan mengagung-agungkan PKM serta bekas Setiausaha Agungnya, Chin Peng.

Apa yang Mohd Puad dan Akmal mahu adalah supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan untuk memohon semakan semula terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Malangnya, Naib Presiden DAP, Teresa Kok seolah-olah tidak berpuas hati dan mengecam kenyataan Mohd Puad dan Akmal dengan menuduh mereka tidak menghormati keputusan mahkamah dan tidak menghormati kebebasan bersuara.

Apa yang Teresa maksudkan dengan kebebasan bersuara? Adakah perbuatan mengagung-agungkan pengganas komunis yang zalim dan kejam boleh dikategorikan sebagai kebebasan bersuara?

Walaupun peristiwa berdarah serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong sudah lama berlalu, rakyat masih tidak dapat melupakan insiden di mana mangsa dibakar hidup-hidup tanpa belas kasihan.

Serangan pengecut oleh pengganas komunis itu turut mengorbankan nyawa ahli-ahli keluarga para anggota polis yang bertugas di balai tersebut.

Pengganas komunis juga bersikap kejam terhadap kaum Cina yang dipaksa dan diugut untuk membekalkan makanan dan barangan keperluan kepada mereka.

Maka tidak hairanlah Mohd Puad dan Akmal lantang bersuara dalam isu komik Superman Hew yang memang terkenal dengan sikap biadab dan kurang ajarnya semasa menyampaikan ceramah politik dahulu.

UMNO tidak boleh berdiam diri sahaja dalam isu ini kerana ia akan menyebabkan sokongan orang Melayu dan Islam terhadap parti itu khususnya pada PRK DUN Nenggiri esok jatuh merudum.

DAP sepatutnya jangan berlagak seperti abang besar dalam Kerajaan Perpaduan kerana mereka pun bergantung kepada sokongan UMNO untuk terus berkuasa.

Jangan disebabkan oleh keangkuhan DAP, Kerajaan Perpaduan tidak bertahan lama.


Jiwa Merdeka





Catat Ulasan

0 Ulasan