Amanah Johor saja cari pasal dengan UMNO

 

Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Abdul Halim Suleiman (kanan).


Amanah Johor didakwa sengaja 'cari pasal' apabila mengungkit tentang pelantikan Exco kerajaan negeri dan ketua kampung serta menuntut kerusi DUN Mahkota.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, sebelum ini, PH terutamanya DAP dan PKR menghormati kedudukan pucuk pimpinan kerajaan negeri Johor kerana mereka faham ia dibentuk sebelum PRU15.

Malah menurut beliau, bekas Timbalan Presiden Amanah, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub juga pernah menyatakan PH Johor tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam baris Exco kerajaan negeri.

"Tapi cuma Amanah Johor saja yang nak cari pasal atau buat hal dengan ungkitkan mengenai lantikan Exco dan jawatan ketua kampung di Johor," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Semalam, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan negeri Johor merupakan kerajaan Barisan Nasional (BN), bukannya Kerajaan Perpaduan dan prinsip kerusi penyandang tidak terpakai di negeri ini.

Jelasnya, perkara itu terbukti apabila semua ahli Exco, ahli majlis dan ketua kampung adalah daripada wakil BN sahaja.

Abdul Halim juga kesal dengan pendirian Amanah Johor yang menolak prinsip kelebihan pada parti penyandang bagi menentukan calon di 56 kerusi di Johor termasuk pada PRK DUN Mahkota nanti.

Menurut beliau, mungkin Amanah Johor lupa tentang PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di mana UMNO memberi laluan kepada calon mereka untuk bertanding walhal UMNO boleh sahaja menuntutnya kerana ia merupakan kerusi tradisi UMNO.

"Tapi UMNO berlapang dada dan siap beri bantuan jentera kempen dan sokongan undu sepenuhnya kepada dua calon Amanah itu sampai mereka menang. Memang betullah peribahasa kacang lupakan kulit.

"Apatah lagi dengan kedudukan Amanah Johor yang serba kekurangan daripada segi ahli dan jentera parti serta hanya mengharapkan undi daripada bukan Melayu saja sedangkan DUN Mahkota merupakan kawasan majoriti Melayu. 

"Adakah Amanah Johor sekali lagi nak tunggang jentera kempen UMNO dan tagih undi daripada orang UMNO untuk menangkan mereka lagi? Tepuk dada tanya iman bukannya tanya nafsu," katanya. 

Abdul Halim mengingatkan Amanah Johor supaya tidak berlagak kononnya mereka jadi mangsa kerana dianiaya, diketepikan seperti pembangkang.

"Sepatutnya Amanah Johor ambil sikap dan pendekatan lebih harmoni serta profesional macam DAP dan PKR Johor yang menghormati UMNO-BN di negeri ini," jelasnya.


Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan