Pemuda MCA harap pembatalan haram komik bukan untuk sedapkan hati Superman Hew

 


Pemuda MCA berharap langkah kerajaan membatalkan pengharaman komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' bukan diambil semata-mata untuk menyedapkan hati segelintir pihak terutamanya bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau dan rakan-rakan seperjuangannya.

Ketuanya, Ling Tian Soon berkata, jika wujud tekanan atau ugutan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pemuda MCA bersedia menjadi benteng mempertahankan beliau dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) demi kepentingan rakyat serta negara.

Menurut beliau, adalah penting untuk kerajaan mempertimbangkan semula pembatalan larangan tersebut demi memelihara sensitiviti masyarakat majmuk seterusnya menjamin kestabilan negara. 

"Ini bukan soal menyekat kebebasan bersuara atau berkarya. 

"Tetapi kita perlu melihat dari sudut pandang yang lebih luas dan menyeluruh," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

KDN telah menarik balik Perintah Larangan ke atas penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Keputusan itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani oleh Saifuddin pada 6 Ogos 2024.

Menurut warta tersebut, pembatalan Perintah Larangan itu melibatkan penerbitan komik dalam tiga bahasa: versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dengan tajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism', dan bahasa Cina.

Tian Soon berkata, jika hendak menyentuh tentang kebebasan bersuara, adakah tindakan-tindakan sebelum ini dianggap demokrasi apabila hantaran serta komen netizen dikenakan tindakan walaupun ia tidak menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum). 

"Termasuk kes terbaharu seorang pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menerima Notis Tuntutan Saman RM2 juta kerana mengkritik seorang wakil rakyat DAP, tidakkah ini usaha untuk menyekat kebebasan bersuara dan menakut-nakutkan rakyat?" soalnya.

Menurut beliau, sempena bulan kemerdekaan ini, penting bagi semua pihak memupuk semangat patriotik dan cintakan kepada Malaysia sebagai tanah air. 

"Bukannya merosakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat dengan menyemai kebencian, hasutan, fitnah serta propaganda jijik demi memenuhi dendam politik segelintir pihak," jelasnya.

Tian Soon berkata, rakyat masih ingat isu itu pernah menjadi tumpuan ramai apabila Superman Hew yang ketika itu memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) pernah menemui Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Pendidikan masa itu) sambil bergambar dan memegang komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) Meraih Manfaat Bersama.

"Untuk rekod, Pengerusi MCBC pada masa itu ialah Tan Kok Wai yang juga merupakan Pengerusi DAP dan kemudiannya dilantik menjadi Duta Khas ke China. 

"Pada masa sama tular surat bertarikh 8 Oktober 2019 untuk membawa masuk komik tersebut ke sekolah-sekolah atas tajuk'Pemberian naskah ehsan buku komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama versi Bahasa Melayu kepada SMK dan SMJK'," katanya.


Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan