Puad, Akmal sekolahkan Teresa isu komik agungkan pengganas komunis

 




Pertikaman lidah antara pemimpin-pemimpin UMNO dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berhubung isu pembatalan pengharaman komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' nampaknya semakin panas.

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, rakyat tidak boleh melupakan kekejaman pengganas komunis Bintang 3 dan insiden serangan di Balai Polis Bukit Kepong.

Menurut beliau, luka tetap berkekalan sehingga kini dan pada masa akan dating.

"Itu maksud exist in the past, exist today and exist in the future. 

"Itu sebab komik Hew (bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau) dibantah. Ia jarum halus menghidupkan fahaman komunis. Kita tidak lupa kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM)," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Teresa berkata, kenyataan Mohd Puad dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang meminta kerajaan untuk menyekat semula  komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' menunjukkan mereka tidak menghormati keputusan mahkamah dan menyekat kebebasan bersuara.

Menurut beliau, semua pihak perlu melupakan prejudis lalu dan terus melihat ke hadapan dan buat masa ini, misi utama adalah berkenaan kepentingan rakyat, serta memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.

Mohd Puad turut bertanya kepada Teresa apa yang dimaksudkannya dengan meminta semua pihak memandang sejarah dari sudut lebih terbuka dan rasional.

"Boleh ubah sejarah? Sejarah tetap sejarah. Prinsip sejarah ialah “exist in the past, exist today and exist in the future”. Sejarah zalim tidak boleh diubah jadi sejarah baik hati. Kezaliman tetap zalim.

"Sebab itu genocide adalah genocide. Pol Pot tetap salah. Radovan Karadzickdihukum bersalah oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT)," jelasnya.

Beliau mengingatkan Teresa bahawa pada 2009. Mahkamah Persekutuan telah menolak usaha terakhir membawa bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng balik ke negara ini.

"Tetapi abu mayat Chin Peng berjaya diseludup balik tahun 2019. Masa itu PH 1.0 berkuasa. Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah Menteri Dalam Negeri. Maka siapa tidak hormat keputusan mahkamah?" soalnya.

Sementara itu, Dr Akmal meminta Teresa menghormati hak majoriti sebelum bercakap untuk menghormati hak kebebasan bersuara bagi pihaknya.

"Siapa kata kami tidak menghormati keputusan mahkamah??

"Tetapi menghormati keputusan mahkamah tidak bermakna kami bersetuju dengan keputusan tersebut.

"Sebab itu kita minta kerajaan untuk memohon semula semakan keputusan mahkamah tersebut selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, kerana isu ini begitu sensitif dalam kalangan orang Melayu di negara ini," jelasnya.

Dr Akmal secara sinis memberitahu Teresa bahawa beliau boleh melukis atau menterjemhkan dalam bahasa Cina jika Ahli Parlimen Seputeh itu tidak faham apa yang dimaksudkannya.

"Dan satu lagi, jika kami ni berfikiran autoritarian kamu pun tidak boleh duduk dan menjadi Ahli Parlimen di negara ini!" tegasnya.







Catat Ulasan

0 Ulasan