Komik Superman Hew: Teresa Kok minta UMNO hormat keputusan mahkamah

 


Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, kenyataan Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang meminta kerajaan untuk menyekat semula  komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' yang diterbitkan oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau menunjukkan mereka tidak menghormati keputusan mahkamah dan menyekat kebebasan bersuara.

Menurut beliau, semua pihak perlu melupakan prejudis lalu dan terus melihat ke hadapan. 

Katanya, buat masa ini, misi utama adalah berkenaan kepentingan rakyat, serta memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.

"Mahkamah telah mengeluarkan penghakiman penuh yang jelas menyatakan bahawa buku tersebut tidak mengandungi kandungan hasutan seperti yang didakwa dalam akuan bersumpah Menteri Dalam Negeri.

"Hakim juga berpendapat bahawa ketidakpuasan hati seseorang atau kumpulan tidak boleh menyekat kebebasan bersuara seseorang. 

"Walaupun Menteri Dalam Negeri tidak bersetuju dengan kandungan buku tersebut, termasuk tafsiran Kuan Yau terhadap sejarah, pandangan dunianya, serta pandangannya mengenai isu semasa, terutamanya komik 'Inisaitif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' China dan isu Xinjiang. Itu tidak cukup untuk menjadikannya sebagai buku terlarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menarik balik Perintah Larangan ke atas penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Keputusan itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos 2024.

Menurut warta tersebut, pembatalan Perintah Larangan itu melibatkan penerbitan komik dalam tiga bahasa: versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dengan tajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism', dan bahasa Cina.

Teresa berkata, pada Julai 2022, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa buku tersebut tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai buku terlarang, manakala pada Disember 2022, Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan rayuan KDN dan mengarahkan Kuan Yau untuk memohon pampasan daripada kerajaan.

Beliau memberitahu, apabila KDN menghormati dan melaksanakan keputusan mahkamah, ia secara tidak langsung mempertahankan hak asasi rakyat Malaysia, terutamanya hak kebebasan bersuara dan penerbitan.

"Keputusan ini mencerminkan pendirian tegas badan kehakiman negara terhadap kebebasan bersuara dan penerbitan.

"Puad dan Akmal Saleh harus menghormati kebebasan kehakiman dan keputusan mahkamah, bukannya terus menyeru kerajaan melanggar perintah mahkamah, dan cuba untuk kembali kepada pemikiran kerajaan autoritarian.

"Kita harus meninggalkan cara pemikiran lama yang penuh dengan perpecahan dan ketakutan, dan memandang sejarah dari sudut yang lebih terbuka dan rasional," jelasnya.

Teresa berkata, pembangunan negara perlu dibina atas asas inklusiviti, keterbukaan, dan kedaulatan undang-undang. 

Katanya, ia adalah untuk memastikan Malaysia bergerak ke arah demokrasi dan keterbukaan, bukannya dengan menindas pendapat berbeza untuk mengekalkan kuasa.

Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan