PAS cabar UMNO edar komik Superman Hew besar-besaran di Nenggiri

 


Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis menyarankan agar komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' diedarkan secara besar-besar semasa kempen PRK DUN Nenggiri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas yakin bahawa semua pihak dalam kerajaan campuran termasuk UMNO sangat gembira dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan pengharaman komik tersebut. 

"Saya ingin turut mencadangkan agar ia diedar secara besar-besaran semasa kempen di Nenggiri. 

"Jika tidak sempat melalui jalan darat, boleh gunakan helikopter," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

KDN telah menarik balik Perintah Larangan ke atas penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Keputusan itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos 2024.

Menurut warta tersebut, pembatalan Perintah Larangan itu melibatkan penerbitan komik dalam tiga bahasa: versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dengan tajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism', dan bahasa Cina.

Ahmad Fadhli menambah, langkah kerajaan membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau bukanlah satu langkah yang memeranjatkan. 

Menurut beliau, ia sememangnya satu langkah yang sudah dijangka dalam situasi kerajaan campuran yang mentadbir Persekutuan hari ini turut ditunjangi oleh DAP sebagai parti komponen yang terbesar.

"Walaupun kerajaan boleh menggunakan alasan perintah ini dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei 2022 yang menerima rayuan Kuan Yau berhubung larangan berkenaan, tiada sebarang hambatan yang perlu dikejar oleh kerajaan untuk membuat pembatalan perintah larangan tersebut.

"Semua pihak tahu siapakah individu bernama Hew Kuan Yau ini. Sewaktu saya bangkit di dalam Parlimen pada 16 Februari 2023 menyebut berhubung berkenaan ucapannya ketika musim kempen pilihan raya umum yang lepas yang membawa kepada siasatan pihak polis, beberapa orang Ahli Parlimen DAP bangun menyuarakan pembelaan," jelasnya.


Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan