Tuan Ibrahim dakwa komik Superman Hew 'jarum halus DAP'

 


Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ sebagai jarum halus DAP untuk mengelirukan dan menafikan sejarah asal Tanah Melayu serta usaha untuk menormalisasikan perjuangan komunis. 

Sebagai contoh, menurut beliau, karikatur menggambarkan Kuo Min Tang, Bintang 3 dan komunis terlibat sama dalam perjuangan memerdekakan Tanah Melayu. 

"Persoalannya, mengapakah DAP cuba mempopularkan kembali fahaman komunis di negara ini sehingga membuat rayuan ke mahkamah untuk membatalkan pengharaman komik propaganda tersebut? 

"Sedangkan rakyat Malaysia yang sememangnya cintakan keamanan dan menghargai nikmat kemerdekaan menolak fahaman komunis," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menarik balik Perintah Larangan ke atas penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Keputusan itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos 2024.

Menurut warta tersebut, pembatalan Perintah Larangan itu melibatkan penerbitan komik dalam tiga bahasa: versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dengan tajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism', dan bahasa Cina.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, banyak laporan polis telah dibuat berkenaan komik tersebut oleh rakyat khususnya orang Melayu Islam bagi menolak tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan komik ini di sekolah-sekolah. 

Beliau menambah, kerajaan juga pada 2019 telah memberi perhatian serius terhadap isu itu dengan mengharamkan Komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ atas dasar menggugat sensitiviti majoriti rakyat Malaysia. 

"Selepas ia diharamkan, kini pengharamannya digugat kembali. Adakah pemimpin Melayu khususnya UMNO hanya mampu berdiam diri sahaja sebagaimana pemimpin AMANAH selama ini? 

"Adakah Presiden UMNO sudah selesa dengan norma baharu ini? UMNO yang dulu kelihatan tegas dalam memperjuangkan ABATA, kini layu tidak bertenaga," jelasnya.

Tuan Ibrahim turut menggesa kerajaan agar konsisten meneruskan keputusan sebelum ini, supaya tidak dilihat ‘flip flop’ dalam isu yang sensitif seperti ini. Kerajaan harus menepis gambaran umum bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan ‘U-turn’.

"Amat malang bilamana kerajaan tidak mempedulikan sensitiviti pejuang kemerdekaan khususnya anggota tentera dan rakyat terutamanya orang Melayu yang menderita di era kekejaman komunis," katanya.


Jiwa Merdeka





Catat Ulasan

0 Ulasan