Pemuda UMNO tak setuju batal pengharaman komik Superman Hew

 



Pemuda UMNO mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyebabkan pembatalan pengharaman komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' yang dihasilkan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah itu namun ia tidak bermakna mereka bersetuju.

"Bagi mengelakkan ketidakadilan kami mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan ini selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah  Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

"Walaupun keputusan mahkamah rayuan pada 26 Julai 2022 yang ketika itu kerajaan memerintah adalah kerajaan BN-PN memutuskan bahawa komik ini tidak menjejaskan kententeraman awam dan permohonan kerajaan untuk kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan larangan terhadap penerbitan komik ini gagal pada 8 Disember 2022,

"Siapa sekalipun kerajaan, sensitiviti majoriti rakyat Melayu Islam perlu diutamakan dan dipelihara untuk menjamin kestabilan negara ini," katanya dalam hantaran Facebook, semalam.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menarik balik Perintah Larangan ke atas penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Keputusan itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos 2024.

Menurut warta tersebut, pembatalan Perintah Larangan itu melibatkan penerbitan komik dalam tiga bahasa: versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dengan tajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism', dan bahasa Cina.


Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan