UMNO wajib bantah KDN tarik balik pengharaman komik Superman Hew

 



UMNO wajib membantah keras keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan pengharaman komik bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' yang dihasilkan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Penegasan itu disuarakan Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam hantaran Facebook, hari ini.

Menurut beliau, rakyat kecewa dengan langkah KDN itu yang dilaksanakan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 8 Disember 2022.

"Kerajaan wajib cari jalan supaya larangan itu diteruskan.

"Komik itu jelas mengagungkan Chin Peng bekas pemimpin Parti Komunis Malaya. Ia jarum halus sebar komunisme. Ramai anggota keselamatan korban perjuangan bersenjatanya," katanya.

KDN telah menarik balik Perintah Larangan ke atas penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Keputusan itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos 2024.

Menurut warta tersebut, pembatalan Perintah Larangan itu melibatkan penerbitan komik dalam tiga bahasa: versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dengan tajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism', dan bahasa Cina.

Mohd Puad menambah, selepas negara merdeka, Chin Peng terus berjuang dalam hutan menentang kerajaan yang sah dan dipilih rakyat. 

"Ideologi komunis menolak Raja-raja Melayu. Ia ancam kestabilan," jelasnya.

Beliau menegaskan, perjanjian damai bukan bermakna ancaman fahaman komunis yang anti Raja-raja Melayu sudah berakhir.

Jiwa Merdeka





Catat Ulasan

0 Ulasan