Pengharaman komik Superman Hew ditarik balik, apa pendirian UMNO sekarang?

 




UMNO diminta menyatakan pendirian terkininya berhubung keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik pengharaman komik kontroversi yang dihasilkan bekas Ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, dahulu UMNO bersungguh-sungguh memprotes dan menuntut KDN mengharamkan komik tersebut.

Malah, menurut beliau, UMNO membawa usul ke Parlimen pada 2019 namun ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu. 

Roslan Shahir mendakwa, komik kontroversi itu bukan sahaja mempromosikan perjuangan komunisme malah turut mempersendakan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Hari ini KDN menarik balik pengharaman komik ini dan ia sudah boleh diedarkan.

"UMNO bagaimana? Bersuaralah sahabat atau benar DAP yang paling bertaring dalam kerajaan PHBN hari ini?" katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

KDN telah menarik balik Perintah Larangan ke atas penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Keputusan itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos 2024.

Menurut warta tersebut, pembatalan Perintah Larangan itu melibatkan penerbitan komik dalam tiga bahasa: versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dengan tajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism', dan bahasa Cina.

Pada 23 Oktober 2019, Naib Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah mengeluarkan kenyataan media berikut:

SPEAKER TOLAK USUL

Pagi tadi, saya telah membangkitkan satu usul di bawah peraturan mesyuarat 18(1) berkenaan isu UNTUK MENGHARAMKAN PENERBITAN KOMIK ‘INISIATIF JALUR DAN LEBAR – MERAIH MANFAAT BERSAMA’ di mana YB Tan Sri YDP Dewan Rakyat telah menolak usul dengan alasan bahawa perkara ini masih dalam siasatan dan tidak perlu dibahaskan di dalam dewan.

Saya bersama-sama YB Ketua Pembangkang dan kesemua rakan-rakan Ahli Parlimen Pembangkang (BN dan PAS) bersolidariti dengan penuh kecewa kerana perkara yang amat penting sebegini yang boleh mengganggu-gugat perpaduan kaum dan mengubah sejarah negara tidak dapat dibangkitkan.

Usul ini amat penting demi menjaga kesejahteraan negara. Pengharaman penerbitan komik ini harus dilakukan segera. Tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada pihak yang terlibat. Sebab itu perkara ini perlu disegerakan dan dibahaskan dalam dewan yang mulia ini.


Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan