KDN tarik balik pengharaman komik Superman Hew


Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menarik balik Perintah Larangan ke atas penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Keputusan itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos 2024.

Menurut warta tersebut, pembatalan Perintah Larangan itu melibatkan penerbitan komik dalam tiga bahasa: versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dengan tajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism', dan bahasa Cina.

"Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Menteri membatalkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2019 (P.U. (A) 288/2019) yang disiarkan dalam warta pada 23 Oktober 2019 dengan melarang pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang dinyatakan dalam jadual," jelas warta tersebut.

Pada 8 Disember 2022, media melaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan larangan ke atas penerbitan komik tersebut yang dihasilkan oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Peguam Vince Tan Hoo Seh yang mewakili Kuan Yau menyatakan, hakim tidak menemui sebarang isu baharu atau persoalan yang dikemukakan oleh kerajaan berkaitan dengan kepentingan awam untuk menyokong usaha mengembalikan larangan tersebut.

Pada 23 Oktober 2019, KDN mengeluarkan Perintah Larangan ke atas penerbitan 'Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama' dalam tiga versi bahasa melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.

Perintah tersebut, yang dikeluarkan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), mengharamkan secara mutlak pencetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran, atau pemilikan hasil penerbitan tersebut di Malaysia.

KDN menyatakan bahawa larangan tersebut dikenakan kerana kandungan penerbitan mungkin menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan serta boleh mempengaruhi pemikiran orang ramai. 

Kementerian itu mendakwa, komik tersebut mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah mengenai komunisme, serta mengandungi unsur-unsur yang boleh meningkatkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan